GEORGE TOWN: Jaringan tunggal Ramadhan Saifullah membantu Kuching City FC menumpaskan Penang FC pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2024/2024 di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.

Turun selaku pasukan pelawat, gol yang terhasil pada minit ke-44 itu sekali gus meranapkan impian Harimau Kumbang untuk mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Terdahulu babak pertama perlawanan yang berlangsung dalam hujan menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang seimbang dengan masing-masing cuba mencari ruang untuk membuka jaringan.

Kuching City FC hampir memecah kebuntuan pada minit ke-34 perlawanan namun sepakan pemain import Tchetche Kipre sekadar mengena jaring meskipun sudah berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Kealpaan Penang FC akhirnya membawa padah apabila hantaran Tchetche Kipre berjaya disambut kemas Ramadhan Saifullah yang kemudian terus merembat masuk bola sekali gus meletakkan Kuching City FC di depan.

Bersambung di separuh masa kedua, Penang FC yang terdesak mencari gol penyamaan dilihat mencari peluang menerusi beberapa percubaan merbahaya ke arah pintu gol lawan namun tidak berhasil.

Kedudukan 1-0 kekal hingga ke wisel penamat sekali gus membolehkan Kuching City FC membawa pulang bekalan tipis ketika menanti kunjungan Penang FC pada perlawanan kedua di Stadium Negeri, 30 Nov ini.

Perlawanan malam tadi merupakan penampilan sulung Penang FC di bawah kendalian jurulatih baharu Wan Rohaimi Wan Ismail yang dilantik untuk menerajui Harimau Kumbang pada 14 Nov lepas.

Wan Rohaimi menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan Pulau Mutiara itu sepanjang saingan Liga Super musim 2024/2025.

-- BERNAMA