KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,167 tempat kerja (premis) perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara menyertai program "Stepwise OSH Level Verification and Enhancement for Small and Medium Enterprise" (SOLVE 4 SME) hingga Jun tahun ini.

Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan penyertaan itu melebihi sasaran jabatan itu dan telah memberi manfaat kepada 70,824 pekerja PKS.

"Program SOLVE 4 SME ini telah menyasarkan penyertaan sebanyak 1,000 tempat kerja (premis) PKS dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2021-2025," menurut kenyataan yang dikeluarkan JKKP sempena Konvensyen SOLVE 4 SME di Kajang, Selangor, hari ini.

Konvensyen yang pertama kali diadakan sejak SOLVE 4 SME diperkenalkan itu dihadiri 400 peserta daripada PKS dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Sutekno Ahmad Belon.

SOLVE 4 SME merupakan program sistematik KESUMA melalui JKKP bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor PKS. - BERNAMA