KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengesahkan parti itu tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT di Janda Baik, 19 Februari lepas, seperti yang dilaporkan beberapa media.

Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO turut berpendapat kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sejak dari awal UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif, mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Justeru, keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam Kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan tersebut.


Awal hari ini, media melaporkan UMNO telah  menghantar surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan MKT untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU15.

Bekas Setiausaha Agung UMNO  Tan Sri Annuar Musa pula mendakwa, UMNO sudah membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu, namun tidak mengumumkannya kepada ahli.

Biarpun perkara ini sudah dilaporkan media sejak hujung bulan lepas, UMNO menafikan laporan berita bahawa mereka menolak kerjasama tersebut.

Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO dalam satu kenyataan pada 21 Februari lepas berkata, laporan yang dibuat media mengenai penolakan kerjasama itu tidak betul dan ibu pejabat UMNO menandang serius dakwaan berkenaan.

BACA: UMNO nafi Majlis Kerja Tertinggi tolak Bersatu dan PN

BACA: UMNO hantar surat tamat kerjasama dengan Bersatu, PN - Laporan

Sementara itu, dalam kenyataan tersebut, Ahmad turut mengesahkan tentang satu perjumpaan khas antara UMNO, Bersatu, dan PAS, yang diwakili lima kepimpinan tertinggi parti telah diadakan pada 15 Februari, 2021.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN meminta UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kerjasama politik dengan Bersatu, sebelum rundingan kerusi dapat diteruskan.

Atas sebab itu, Ahmad berkata, MKT telah membuat mesyuarat berkenaan, dan mencapai kata putus seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.