PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti aspek keselamatan di Jalan Kuantan-Segamat yang mengorbankan empat nyawa dalam kemalangan bas membawa rombongan guru terbalik pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti aspek keselamatan di Jalan Kuantan-Segamat, lokasi kemalangan bas yang mengorbankan empat nyawa. KKR akan mengambil tanggungjawab penambahbaikan jika kejadian berpunca daripada masalah kerosakan jalan.
  • Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 80% punca kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu kenderaan, 13% kerana masalah jalan, dan 7% kerana keadaan kenderaan yang tidak diselenggara atau rosak.
  • Bas rombongan guru SK Jeram, Melaka yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu itu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler. Mangsa maut ialah Penolong Kanan, Hasnatul Adilah Hassan; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris; pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad; dan guru, Dahlia Ahmad.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan mengambil tanggungjawab penambahbaikan jika kejadian tersebut berpunca daripada masalah kerosakan jalan.

"Melalui data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 80 peratus punca kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu kenderaan, 13 peratus lagi kerana masalah jalan manakala 7 peratus pula berpunca keadaan kenderaan yang tidak diselenggara atau rosak.

"Bagaimanapun, KKR akan teliti kejadian, jika kemalangan disebabkan permukaan atau kerosakan jalan, ia adalah tanggungjawab kami," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan pengguna yang mahu KKR meneliti dan menaik taraf semua laluan tersebut yang didakwa kerap berlaku kemalangan.

Ahmad ditemui pada pelancaran Asset Management Roundtable Series 2024/2025 dan Global Maintenance Day 2024 berlangsung di UEM Edgenta Learning Centre di sini pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan bas membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler.

Bas berkenaan membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka dalam perjalanan ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Mereka yang maut ialah Penolong Kanan, Hasnatul Adilah Hassan, 48; pemandu kedua bas, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah, Hamzah Ahmad, 60, dan guru, Dahlia Ahmad, 52. -Sinar Harian