AMPANG JAYA: Sebanyak 10,000 cerun yang terletak berhampiran kawasan perumahan termasuk sekolah sedang dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.


Ringkasan AI
  • Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memantau 10,000 cerun berhampiran kawasan perumahan dan sekolah. Sebanyak 3,200 daripada 27,000 cerun diklasifikasikan sebagai berisiko di seluruh negara.
  • Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) untuk memantau cerun-cerun tersebut menjelang peralihan Monsun Timur Laut, bagi menyediakan amaran awal jika diperlukan.
  • BigBen di peringkat daerah akan diketuai oleh Jurutera Daerah JKR dengan kerjasama agensi-agensi lain bagi memastikan pemantauan dan tindakan proaktif dijalankan.


Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 27,000 cerun di seluruh negara berada dalam pemantauan pihaknya dengan 3,200 diklasifikasikan sebagai berisiko.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) yang beroperasi di Ibu Pejabat KKR beberapa hari lalu bagi memantau semua kawasan terbabit.

Katanya, langkah proaktif itu susulan Malaysia berdepan fasa peralihan Monsun Timur Laut bermula bulan depan.

"Setakat ini kami ada semua senarai 27,000 cerun, ada 3,200 cerun berisiko... oleh itu kita telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana... atau BigBen di bangunan JKR di Ibu Pejabat beberapa hari lepas.

"Jika perlu kita akan bekerja 24 jam untuk memberikan sistem amaran awal khusus berhubung dengan cerun berhampiran penempatan terutama di sekolah ada 10,000 di seluruh negara dan kawasan cerun berdekatan di jalan raya.

"Semua cerun ini di Jalan Persekutuan iaitu 27,000 cerun, juga 3,200 yang berisiko pun Jalan Persekutuan.

“Ini termasuk (berhampiran) bangunan kerajaan, hospital, sekolah, klinik, bangunan-bangunan begitu. Jadi menteri telah mengarahkan BigBen diaktifkan," katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian selepas melawat lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BigBen di peringkat daerah akan diketuai Jurutera Daerah JKR dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.