MCA hari ini (Ahad) akan memutuskan sekiranya ia akan kekal bersama dengan Barisan Nasional (BN), atau meninggalkannya, atau mungkin mendesak agar pakatan itu dibubarkan sahaja; pada perhimpunan agung tahunannya, kata Timbalan Presidennya Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata komuniti Cina berpandangan MCA harus meninggalkan BN walaupun MCA sebagai rakan pengasas kepada penubuhan pakatan BN sudah sekian lama mengharungi saat 'susah-senang' kewujudannya bersama dengan Umno dan MIC sejak negara mendapai kemerdekaan.

"Pada ketika BN dalam keadaan lemah susulan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, persoalan kini adalah sama ada MCA harus meninggalkan BN, atau meminta agar BN dibubarkan selaras dengan kedudukan MCA sebagai anggota pengasas kepda penubuhan BN.

"Ini adalah pilihan yang perlu diputuskan oleh anggota MCA untuk masa hadapannya," katanya semasa berucap merasmikan perhimpunan agung tahunan Pemuda MCA di sini pada Sabtu.

Beliau berkata sekiranya BN dibubarkan, parti-parti komponen pakatan itu akan bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk pakatan baru.

Berhubung Pakatan Harapan (PH), beliau berkata pakatan itu gagal untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat, di mana menurutnya enam bulan selepas PRU-14 apabila DAP yang mendapat 95 peratus sokongan dari kaum Cina, sebaliknya menggunakan kuasanya selepas memenangi pilihan raya untuk menyerang MCA.

-- BERNAMA