Ringkasan AI
- Keutamaan Reformasi: Kerajaan Perpaduan memberi keutamaan kepada reformasi sambil mengimbangi pengurusan kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi, walaupun mendapat Gred D daripada Bersih.
- Penerimaan Kritikan: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan kerajaan terbuka menerima pandangan dan kritikan, dan menekankan bahawa reformasi adalah sebahagian daripada pakej keseluruhan yang memerlukan masa untuk dilaksanakan.
- Penilaian Bersih: Bersih memberikan gred D kepada Kerajaan Perpaduan, menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan, dan kerajaan perlu memenuhi semua agenda reformasi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian sebagai respons terhadap Bersih yang memberikan gred D kepada kerajaan dan mendakwa tidak banyak reformasi dilakukan kerajaan sekarang.
Menurutnya, meskipun mendapat gred sedemikian, Rafizi berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima sebarang pandangan dan kritikan terhadap prestasi anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan.
"Saya yakin secara keseluruhan, masyarakat akan menilai Kerajaan Perpaduan secara adil berdasarkan keutamaan kami kerana jangkaan yang berbeza datang daripada segmen masyarakat berbeza.
"Jika hanya memberi tumpuan kepada satu segmen, mungkin kita akan dapat penilaian A daripada Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), tetapi F dalam perkara lain.
"Jadi fokusnya adalah untuk mengimbangi semua perkara dan reformasi adalah sebahagian daripada pakej keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim ke-2, di Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu Rafizi menjelaskan, beberapa reformasi utama telah dimulakan namun ia masih memerlukan tempoh tertentu untuk melaksanakannya.
Sebagai contoh, katanya, agenda pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, beliau memaklumkan, reformasi tersebut telah berlaku lebih setahun yang lalu.
"Seperti tumpuan terhadap reformasi ekonomi, pada bulan pertama (pentadbiran), saya masih ingat penganalisis dan media sangat kritikal kerana pada awalnya mereka mahukan kejelasan terutama dalam isu penyasaran semula subsidi dan sebagainya.
"Tetapi dengan cara yang sama, kerajaan mempertimbangkan banyak faktor dalam menyusun urutan reformasi dan apabila melihat beberapa hasil awal, pihak berkepentingan seperti pasaran, penganalisis dan masyarakat mula memberi sedikit kepercayaan kepada kerajaan.
"Jadi proses ini akan berterusan dengan cara yang sama dan ia akan membantu kami mengurus program reformasi dan mengimbangkannya," ujarnya.
Bersih sebelum ini memberikan gred D atau markah 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara ekoran didakwa wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Gabungan itu turut menekankan bahawa manifesto pilihan raya tetap terikat walaupun parti lain menyertai gabungan dan ia sepatutnya memberikan kelebihan dalam memenuhi kesemua agenda reformasi.