Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Ragunath Kesavan berpendapat, kebanyakan pelaku kes SOSMA bukanlah pengganas, tetapi mereka ditahan kerana soal takrifan ancaman kepada negara yang terlalu luas.
“Misalnya kebanyakan kes ini mereka hanya terlibat dalam rusuhan, gangsterisme dan terbaru ini Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) yang dituduh di bawah SOSMA. Apa yang perlu sekarang adalah satu sistem lebih mantap.
“Kalau ada perbicaraan, wajib dibawa ke muka pengadilan dalam kurang setahun misalnya, peraturan itu mesti ada. Jika seseorang itu bukan ada unsur keganasan, maka ikat jamin perlu diberikan kepada seseorang itu. Sekarang perkara asas itu tidak ditekankan,” katanya semasa program Agenda AWANI pada Isnin.
Beliau menjelaskan, isu tempoh reman juga perlu diteliti apabila peruntukan membenarkan pelaku kes SOSMA direman selama 28 hari tanpa perbicaraan.
“Ini sudah tentu menjejaskan institusi keluarga terutama jika pelaku merupakan ketua keluarga sedangkan individu itu mungkin sekadar merusuh yang tidak terkait dengan ancaman keselamatan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyeru kerajaan hari ini menunjukkan keberanian untuk meminda akta SOSMA seperti dilaungkan sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan Akta Sosma dan rancangan kerajaan berhubung undang-undang itu akan diperjelaskan pada persidangan Dewan Rakyat minggu ini.
