Menurut Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, ia bagi memastikan pilihan raya itu bebas daripada sebarang tingkah laku yang bertentangan dengan undang-undang dan etika pilihan raya.
‘’Kita sudah menubuhkan pasukan pemantau untuk Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu dan saya sendiri merupakan salah seorang ahli pasukan.
‘’Jadi ia selaras dengan apa yang kami lakukan sebelum ini di mana kita membuka ruang untuk sesiapa sahaja termasuk parti politik dan pengundi untuk menyuarakan aduan sekiranya terdapat penyalahgunaan undang-undang dan juga etika pilihan raya,’’ katanya.
Selain itu, ujarnya Bersih juga akan menerbitkan laporan berkaitan perjalanan PRK Kuala Kubu Baharu dan akan melaporkan sebarang salah laku yang melibatkan setiap individu terlibat kepada pihak polis.
‘’Dalam setiap pilihan raya, kita akan menerbitkan laporan berkenaan perjalanan pilihan raya tersebut.
‘’Sebarang salah laku calon, ejen dan pada masa sama sekiranya berulang kita akan membuat laporan polis sebagai contoh wujud pemberian wang tunai semasa keberadaan calon dan pastinya ia sesuatu yang besar,’’ tambahnya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata, Bersih juga akan melakukan rujukan kepada undang-undang, akta dan beberapa deklarasi sedia ada seperti Deklarasi Bangkok berkenaan penganjuran sesuatu pilihan raya terutamanya melibatkan perjalanan kempen.
“Seperti contoh paling mudah penjamuanlah, saya faham semua orang nak sambut raya nak bagi sedekah dan minggu ni minggu terakhir raya, tapi kita perlu jelas dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya memberi jamuan tu adalah satu kesalahan.
‘’Jadi sebab itulah bagi kita yang paling penting awal-awal kita sebut kenapa perlunya pindaan kepada Akta Kesalahan Pilhan Raya inilah antara isunya.
‘’Kalau bagi kita memang tidak adil untuk kita katakan tidak boleh langsung ada jamuan itu antara kriteria namun bagi kita penting untuk orang-orang politik berlaku jujur untuk kita lihat ke depan apa yang perlu dipinda dan sebagainya mekanisme-mekanismaekempen dan sebagainya,’’ tambahnya.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.
DUN KKB memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.