Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dalam satu kenyataan menjelaskan, pelaksanaannya berpotensi menidakkan keadilan kepada penyedia perkhidmatan media sosial, penyedia perkhidmatan pesanan internet dan akhirnya akan membungkam kebebasan bersuara.
"Menerusi pelesenan ini, penguatkuasaannya akan turut merangkumi peruntukan tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’ yang akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan internet.
"Malah, akta sedia ada seperti Akta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 khususnya Seksyen 8A dan Akta Komunikasi dan Multimedia, khususnya Seksyen 211 dan 233 sebagai senjata politik," jelas kenyataan itu..
Sehubungan itu, BERSIH beranggapan, jika ditambah dengan perundangan baharu untuk perlesenan platform media sosial, ia berpotensi besar untuk disalahgunakan sebagai kerangka perundangan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyokong cadangan Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Artikel 19 yang mencadangkan kerajaan menghentikan dahulu keputusan untuk mengadakan lesen platform media sosial yang dilihat terburu-buru.
Selain itu, BERSIH berkata, hujah yang dibawa kerajaan untuk memberi justifikasi kepada penguatkuasaan lesen itu adalah untuk menyekat aktiviti penipuan dalam talian, buli siber, serta penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.
Pada Sabtu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta588).
MCMC memaklumkan langkah tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos.