TINGGAL sehari hari lagi pengundi DUN Sungai Bakap akan membuat pilihan pemimpin yang akan mewakili mereka bagi kawasan N.20 itu. Sudah lebih seminggu kempen pilihan raya dijalankan di mana PRK kali ini memperlihatkan pertarungan satu lawan satu yang menampilkan calon daripada Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin atau Cikgu Joohari dan Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail atau lebih dikenali sebagai Abang Abidin.

Pada PRU Negeri yang lalu DUN Sungai Bakap telah dimenangi oleh calon daripada PN iaitu Allahyarham Nor Zamri Latiff atau YB Abang Zam, di mana kemenangan beliau ke atas calon PH Nurhidayah Che Rose, yang tidak berjaya mempertahan kerusi tradisi bagi Parti Keadilan Rakyat / PH. Pemergian YB Abang Zam telah membenarkan pilihan raya kecil diadakan.

Pertembungan yang kini menjadi elclásico dalam kancah politik sudah pasti menjadi perhatian bagi seluruh rakyat Malaysia secara amnya. Kini, Sungai Bakap menjadi tumpuan bagi jentera parti dari seluruh negara. Sudah pasti pelbagai bentuk kempen dan cara bagi meraih undi bagi calon masing-masing.

Sepanjang lebih seminggu tempoh kempen dilaksanakan pelbagai isu dan polemik muncul daripada kedua-dua belah parti, masing-masing menampilkan kreativiti yang pelbagai dalam usaha menambat hati pengundi bagi memilih mereka sebagai ahli Yang Berhormat bagi kawasan mereka. Kedua-dua calon mempunyai kekuatan masing-masing untuk ‘dijual’ kepada para pengundi mereka.

Cikgu Joohari sebagai sosok seorang guru, seorang pendidik dan mempunyai latar yang baik agamanya cukup memberi dilema kepada calon daripada Perikatan Nasional iaitu Abang Abidin yang mana sudah berhadapan dengan pelbagai isu usai daripada pengumuman beliau sebagai calon Perikatan Nasional. Dalam cubaan menampilkan calon ‘profesional’ Perikatan Nasional telah menyatakan beberapa keraguan profil calon yang dipersoalkan banyak orang dan sudah pasti menjadi objek serangan daripada Pakatan Harapan.

Pemerhatian di media sosial juga memperlihatkan kedua-dua calon memanfaatkan sebaiknya ruang dalam meraih undi anak muda dan cubaan memberikan imej yang baik kepada awam dengan pelbagai idea penyampaian, suntingan video pendek berkenaan aktiviti kempen harian seperti ziarah, bersalaman, berjumpa dan menyertai aktivit masyarakat setempat. Kedua-dua mereka dilihat setara dalam media sosial namun terdapat sedikit kelebihan kepada Cikgu Joohari kerana mesej perpaduan yang dibawa menjadikan ia lebih diikuti oleh mereka yang terdiri daripada pelbagai latar masyarakat walaupun Abang Abidin mempunyai lebih ramai pengikut di media sosial.

Dalam kempen harian, berdasarkan pemerhatian imej Cikgu Joohari dilihat lebih diterima masyarakat memandangkan sosok beliau sebagai seorang guru dilihat lebih mudah menelusur kepada mereka di bawah. Beliau sangat mudah bergaul tambahan pula hampir setiap hari beliau akan berjumpa dengan anak muridnya sendiri yang kebanyakannya bangga dengan pencalonan beliau.

Abang Abidin pula dilihat bermula sukar kerana beliau dilihat sebagai pengganti kepada Allahyarham Abang Zam, dan itulah yang diimejkan kepada Abang Abidin sebagai penerus legasi Abang Zam dengan membawa nama ‘abang’ yang dilihat lebih mesra dan santai. Namun pembawakan tersebut memberi sedikit dampak negatif apabila mula ada yang membandingkan karakter antara Abang Abidin dan Abang Zam dan sudah pasti ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh calon daripada PN ini.

Serangan peribadi pada kali ini kita boleh lihat agak kurang berbanding PRK lain hal ini kerana masing-masing punya kekuatan tersendiri, jika calon PH hendak diserang berkenaan latar pendidikan dan agama agak sukar kerana Cikgu Joohari merupakan seorang memegang gelaran Doktor Falsafah namun panggilan cikgu yang kelihatan lebih sinonim dengan diri beliau. Latar keagamaan beliau juga baik kerana beliau merupakan anak kepada imam di sebuah masjid di Sungai Bakap tambahan pula anak beliau juga merupakan seorang Da’ie yang begitu dikenali sering muncul dikaca televisyen.

Begitu juga Abang Abidin, tidak banyak serangan peribadi boleh dibuat kepada beliau hanya isu yang hangat di awal berkenaan kelayakan yang dilihat tidak tepat namun telah pun dijawab. Beliau yang meyandang kerja Abang Zam dilihat punyai kelebihan kerana sudah pun sering bersama Allahyarham Abang Zam dalam berkempen pada PRU Negeri yang lalu dan berkhidmat sepanjang tempoh sebelumnya.

Pelbagai faktor dan aspek mampu dilihat untuk dijadikan penanda aras dalam memilih Ahli Yang Berhormat bagi DUN Sungai Bakap pada kali ini, dan sudah pasti yang hendak dipilih adalah mereka yang mampu menyuarakan isu setempat dan menyelesaikan isu yang dihadapi.

Adakah pemimpin berjiwa pendidik atau pemimpin penerus legasi menjadi pilihan? Justeru pengundi Sungai Bakap mempunyai tanggungjawab menentukan pemimpin kalian esok 6 Julai (Sabtu). Pilih pemimpin mengikut kekkuatan dan kapasiti bukan mengikut emosi, maka selamat mengundi.


* H. Ahmad merupakan Pengarah Steategik Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan Malaysia (APDK).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.