KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO sedia bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan mereka boleh menjadi parti dominan, sebenarnya menggambarkan kurangnya keyakinan beliau terhadap parti.

Pendapat itu diluahkan penganalisis politik yang juga pensyarah kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff.

Menurutnya, kesediaan itu sebagai langkah membina pengaruh untuk mendapatkan undi bagi membentuk kerajaan.

"Apabila beliau keluarkan kenyataan sedia bekerjasama dengan mana-mana parti demi membentuk kerajaan, ia menimbulkan keraguan kerana ia jelas bukan berdasarkan prinsip tetapi lebih kepada isu kuasa.

"Ia membayangkan beliau tidak yakin UMNO boleh menang pilihan raya akan datang secara bersendirian sebaliknya cuba dapatkan undi dan kerusi yang banyak dan gunakannya untuk bentuk kerajaan.

"Perlu diingatkan kemenangan UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini adalah dibantu oleh kerjasama dengan Pas, dan kerjasama ini yang melonjakkan sokongan orang Melayu," katanya ketika muncul dalam Buletin Khas AWANI, hari ini.

Justeru, beliau melihat 'reset' politik yang dimaksudkan Zahid agak sukar dilaksanakan tanpa sokongan padu anggotanya.

"Hubungan komponen dalam Barisan Nasional tidak sekukuh sebelum ini, dengan bilangannya juga tak sebanyak dahulu.

"Parti komponen juga nampak tidak beri sokongan penuh kepada pimpinan Zahid selaku Presiden UMNO. Jika UMNO nak bertanding sendirian dalam pilihan raya akan datang, cabarannya pasti sangat besar.

"UMNO perlu buktikan mereka mampu jadi jenama yang diyakini rakyat kerana jika tidak, sukar bagi mereka. Lebih teruk lagi mahu yakinkan rakyat Sabah dan Sarawak kerana biasanya akan melihat kepada kekukuhan parti di semenanjung untuk buat pilihan," ujarnya.