Pada perlawanan dramatik itu, PDRM FC menafikan peluang tuan rumah mencatat kemenangan di laman sendiri dengan dua jaringan gol pada masa kecederaan menerusi tandukan kemas pemain gantian, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menembusi gol lawan.
Kemudian pemain import Ifedayo Olusugen menggandakan jaringan menerusi rembatan kencang menewaskan penjaga gol tuan rumah Tauffiq Ar Rasyid Johar.
Terdahulu NSFC mendahului permainan dengan gol tunggal A.Selvan menerusi gerakan solo pemain itu yang terhasil pada minit ke-68, namun skuad 'Hobin Jang Hobin' terpaksa akur dengan kekalahan saat akhir kepada PDRM FC.
Babak awal perlawanan menyaksikan skuad tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga dengan memberikan tekanan apabila pemain import, Ricardo Pires Santos hampir membuka jaringan menerusi tandukan kemas pada minit kelima, namun percubaannya ditepis penjaga gol pasukan lawan.
Skuad bimbingan Ketua Jurulatih K. Nantha Kumar terus mengasak dengan rembatan kencang pemain tengah, Jacque Faye, hampir membolosi gawang namun sepakan mengenai palang pada minit kelapan.
Pasukan lawan juga tidak ketinggalan mencipta beberapa peluang berbahaya menerusi penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi melakukan rembatan dari jarak dekat, tetapi gagal menemui sasaran pada minit ke-35.
Sementara itu, percubaan Ifedayo pada minit ke-44 juga hanya mampu menggegar palang, sekali gus menafikan jaringan untuk pasukan pelawat.
Kedua-dua pasukan dijadual beraksi pada perlawanan seterusnya pada 29 Nov ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.
-- BERNAMA