Kerjasama PAS dan UMNO harus melibatkan kepentingan semua kaum dan bukan berasaskan Melayu dan Islam sahaja sekiranya mahu menyaingi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata pemimpin UMNO dan Pas perlu ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan nasib rakyat negara ini yang datang dari pelbagai kaum.

“Mereka tidak boleh memikirkan politik orang Melayu dan Islam sahaja, sebab dalam Barisan Nasional (BN) pun ada orang bukan Melayu, kena ambil kira kepentingan kaum lain juga.

“Kerjasama ini harus dilihat memberi penekanan manfaat kepada semua kaum juga, bagaimana ia boleh dilaksanakan bergantung kepada kebijaksanaan dan kebolehan pemimpin kedua-dua parti ini,” katanya ketika dihubungi Astro Awani, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kerjasama Pas dan UMNO yang mula ditunjukkan pada Pilihan Raya Kecil Balakong dan Seri Setia baru-baru ini serta kehadiran Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Muktamar Pas Pusat di Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata UMNO dan PAS tidak perlu risau mengenai sokongan parti-parti komponen dalam gabungan Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera.

“Saya fikir kerana kedua-dua parti ini merupakan tunjang dalam gabungan masing-masing, parti-parti komponen lain kurang memberi signifikan dan tidak memenangi banyak kerusi dalam PRU lepas.

“Saya rasa pemimpin dari UMNO dan Pas sudah tentu melakukan rundingan dengan parti komponen masing-masing, dan ia sekarang ini bergantung kepada penyokong mereka sahaja,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Azmi Hassan berpendapat ahli akar umbi kedua-dua parti tidak boleh berpegang kepada sejarah lama atau prinsip parti masing-masing secara menyeluruh dan perlu bertolak-ansur untuk menyokong apa yang dilakukan pucuk pimpinan kedua-dua parti.

“Selain perbezaan ideologi politik, terdapat satu perkara yang sama iaitu perjuangan kepentingan agama dan ummah dan ini disokong oleh kedua-dua parti.

“Faktor ini akan menyatukan akar umbi masing-masing dan setiap ahli parti perlu bertolak ansur dalam banyak perkara selepas ini,” jelas pakar geostrategis daripada Universiti Teknologi Malaysia itu.

Sebelum ini, sudah terjalin kerjasama antara UMNO-Pas namun ‘bercerai’ pada tahun 1978 selepas timbulnya beberapa isu dan ketidaksefahaman antara satu sama lain.

Ahli dalam kedua-dua parti ini perlu melupakan kisah silam bagi mengelak penceraian itu berlaku sekali lagi, dan sebagai parti tunjang dalam gabungan BN dan Gagasan Sejahtera, mereka perlu meyakinkan parti komponen lain kerjasama ini dibuat berasaskan kepentingan semua.