KUALA LUMPUR: Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk mereka beroperasi di Malaysia.


Ringkasan AI
  • Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan untuk memenuhi keperluan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025, bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dan melindungi pengguna.
  • MCMC memuji komitmen kedua-dua platform untuk mematuhi keperluan pelesenan dan mengingatkan semua penyedia perkhidmatan agar mengemukakan permohonan sebelum tarikh akhir 31 Disember 2024.
  • Langkah ini diharapkan dapat memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik, dan perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ia bagi memenuhi keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian.

“Ini juga bagi melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

“MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut.

"Kedua-dua platform dijangka memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kerangka ini dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.

"MCMC mengingatkan semua Penyedia Perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember 2024.

"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak," katanya.

MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua Penyedia Perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar.

MCMC berharap langkah berkenaan dapat memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.