Dalam satu nota penyelidikan, ia berkata penurunan itu dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2025 dan semakan semula kaedah perkiraan nilai pasaran terbuka (OMV) yang akan meningkatkan duti eksais secara berkesan.
Memetik Persatuan Automotif Malaysia Malaysia (MAA), firma penyelidikan itu berkata semakan pengiraan OMV boleh menaikkan purata harga jualan kenderaan pemasangan tempatan sebanyak lapan hingga 20 peratus walaupun pelaksanaannya telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024.
OMV merujuk kepada jumlah nilai kenderaan yang dipasang secara tempatan pada peringkat 'ex-factory' (menghasilkan produk mengikut spesifikasi yang dipersetujui).
"Walaupun menghadapi cabaran ini, menghapuskan subsidi RON95 boleh mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).
"Kami juga menjangkakan penggunaan BEV yang lebih tinggi pada 2025, didorong oleh pelancaran model baharu, peserta baharu dan persaingan semakin meningkat dalam kalangan penggiat kenderaan elektrik menjelang pengecualian duti untuk model import yang akan berakhir pada 2026, selepas itu pemasangan tempatan akan diutamakan," katanya.
CIMB Securities berkata permintaan untuk jenama nasional seperti Proton dan Perodua dijangka kekal kukuh, disokong oleh pembeli kali pertama dan segmen 'mass-market' (segmen pasaran besar-besaran) selain rancangan kerajaan untuk mengekalkan subsidi untuk 85 peratus pengguna RON95 di bawah Belanjawan 2025. .
"Justeru, kami menjangkakan jenama nasional mengekalkan penguasaan mereka, menguasai 65 peratus bahagian pasaran berbanding 35 peratus untuk jenama bukan nasional pada 2025," katanya.
Sementara itu, CIMB Securities mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih tiga peratus bagi sektor automotif pada 2025 daripada penguncupan 23 peratus pada 2024, kebanyakannya didorong oleh pendapatan Sime Darby yang lebih tinggi menerusi UMW, peningkatan jualan dan penyewaan peralatan serta pemulihan bahagian motor di China kerana kawalan kos yang lebih baik dan pemulihan ekonomi.
"Selain itu, pakar ekonomi kami mengunjurkan potensi pengukuhan ringgit berbanding dolar US pada 2025, didorong oleh jangkaan akan berlaku penuurnan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
"Pengukuhan mata wang ini boleh menyokong pertumbuhan keuntungan bersih bagi sektor automotif pada 2025," katanya.
Sehubungan itu, CIMB Securities telah mengekalkan penarafan "neutral" pada sektor tersebut berikutan prospek pertumbuhan yang lemah dalam keadaan persaingan pasaran semakin sengit.
-- BERNAMA