Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) dinasihat tidak mengikut perangai parti pembangkang yang bergasak sesama sendiri kerana berebutkan kerusi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pemimpin UMNO dan BN perlu fokus kepada persiapan untuk menghadapi PRU ke-14 dengan matlamat meraih kemenangan lebih besar berbanding PRU13.

"Saya ingatkan pihak tertentu agar jangan cuba 'mengatur' nama-nama calon dengan mendahului keputusan bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Najib yang juga Pengerusi BN belum lagi membuat keputusan siapa yang bakal dipilih sebagai calon, jadi tidak perlu hendak sebar ramalan menerusi media sosial," katanya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Tegasnya, perbuatan sebegitu jelas hanya akan merosakkan perpaduan di kalangan pemimpin parti dan sedikit-sebanyak boleh mempengaruhi sikap pengundi.

"Jangan kita ikut rentak rentak sumbang pembangkang berhubung pembahagian kerusi sehingga sesama mereka bertelagah, kita (BN) harus berpegang kepada prinsip kesepakatan," tegasnya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras menjelaskan, penentuan bakal calon bagi setiap kerusi Parlimen dan Negeri (DUN) akan ditentukan oleh Najib yang juga Presiden UMNO.

"Serahkan kepada Najib untuk buat pilihan, jangan ada unsur-unsur desakan atau tekanan.

"Pemimpin BN sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peratusan pengundi terutama golongan muda," ujarnya.

Syed Ali mengingatkan, penyebaran khabar angin kononnya pemimpin tertentu akan bertanding di sesuatu kawasan tertentu hanya akan meretakkan perpaduan sedia ada.

Katanya, berita yang sengaja disebarkan bahawa pemimpin tertentu akan bertanding di luar kawasan juga dilihat tidak memberi kesan yang baik kepada parti.

"Pada hemat saya, kebarangkalian untuk sesetengah pihak akan berasa kecewa dan tidak puas hati akan berlaku jika perkhabaran itu mendahului keputusan bakal dibuat oleh Perdana Menteri," tegasnya.

Tambah beliau, perebutan kerusi PRU yang berlaku dalam Pakatan Harapan seharusnya dijadikan iktibar.

Mengambil contoh di Selangor, beliau menyebut sehingga sekarang Pakatan Harapan di negeri itu bergasak sesama sendiri kerana cara pengagihan kerusi yang didakwa tidak adil.

"UMNO dan BN jangan ikut perangai pemimpin pembangkang yang sememangnya tamak dan kemaruk untuk berkuasa.

"Rakyat sedang memerhati sejauh mana keikhlasan parti-parti politik yang bakal bertanding pada PRU akan datang memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin UMNO termasuk komponen BN memberi lebih perhatian terhadap sejauh mana kekuatan untuk berdepan pihak lawan.

Pakatan Harapan kata beliau, walaupun mengalami keretakan tetapi tidak bermakna BN mengambil sikap sambil lewa.

"Memang Pakatan Harapan sekarang bercelaru, bergeseran sesama sendri, tetapi kita perlu sentiasa bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan pada PRU akan datang.

"Suara akar umbi bahawa calon-calon muda daripada UMNO perlu diketengahkan pada PRU akan datang merupakan pandangan positif yang perlu diambil kira.

"Perdana Menteri sendiri mengutamakan pembangunan golongan muda untuk masa depan negara, jadi saya berpendapat kehendak itu tidak salah jika diberikan keutamaan," ujarnya.

Mengulas kenaikan pembayaran dividen KWSP yang disifatkan pembangkang sebagai umpan pilihan raya, Syed Ali menjelaskan pembangkang akan memutarbelitkan apa sahaja kebaikan dilakukan pihak kerajaan.

"Tidak ada benda baik yang dilakukan kerajaan disambut dengan berlapang dada oleh pembangkang, sebaliknya ditohmah dan difitnah dengan pelbagai dakwaan," tegasnya.

Mengulas kemungkinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Parlimen Putrajaya, beliau berkata itu hak beliau selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri bertanding di Putrajaya termasuk calon Bebas jika mereka beranggapan mampu menewaskan Ahli Parlimen sekarang, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Kita di Wilayah Persekutuan akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan lebih besar calon-calon BN termasuk di Putrajaya," tegasnya.