Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok disifatkan sudah tidak ada kerja lain selain 'menyibuk' tentang etnik dan keturunan orang lain pada catatan di laman sosial Facebook miliknya.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, banyak lagi kerja yang boleh dilakukan Teresa termasuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) di kawasan Seputeh sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Teresa Kok sudah tidak ada kerja ke sibuk pasal etnik dan keturunan orang lain?

"Banyak kerja lain yang lebih berfaedah untuk rakyat laksanakan di Seputeh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji mengulas catatan Teresa Kok di laman Facebooknya yang menyentuh mengenai raut wajah seorang lagi Ahli Parlimen yang sama dengan Azeez iaitu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan.

Catatan itu turut memberitahu sikap Azeez dan Loga yang berbeza di Parlimen selain mengajuk kedua-duanya seperti adik beradik.

Catatan Facebook milik Teresa Kok yang didakwa Abdul Azeez mempunyai unsur 'sindiran' etnik - Sumber Facebook Teresa Kok


Abdul Azeez turut menasihatkan Teresa untuk melaksanakan janji-janji semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas dan mengutamakan rakyat di kawasan sendiri.

Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penyiaran video kontroversi Tahun Baru Cina bertajuk ‘Onederful Malaysia’.

Bagaimanapun, Teresa mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Teresa juga pada Oktober lepas turut menafikan kehadirannya dalam pesta arak Oktoberfest tidak menyentuh sensitiviti mana-mana agama.

Katanya acara tersebut merupakan acara bagi orang bukan Islam dan adalah hak peribadinya sebagai seorang yang bukan Islam untuk hadir ke pesta tersebut.