Malaysia memenangi pengundian negara-negara untuk menduduki kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi tempoh 2015-2016.

Sekali gus akan mewakili kumpulan Asia Pasifik sementara dua lagi negara-negara berkecuali (NAM) iaitu Angola dan Venezuela akan mewakili kumpulan Amerika Selatan dan Carribean.

Malaysia mendapat 187 daripada keseluruhan 192 undi negara-negara berkenaan.

Pengundian berlangsung di dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis.

PBB
Malaysia mendapat 187 daripada keseluruhan 192 undi negara-negara berkenaan - Foto EPA/JUSTIN LANE

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang berada di dalam dewan turut mengundi.

Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 130 undi untuk dipilih.

Anggota baharu akan menduduki kerusi berkenaan pada 1 Jan 2015 dan akan berkhidmat dalam UNSC sehingga 31 Dis 2016.

PBB
Wakil-wakil Venezuela meraikan pemilihan negara itu untuk menduduki kerusi tidak tetap UNSC - Foto EPA/JUSTIN LANE

Kelima-lima anggota Tetap Majlis Keselamatan, yang masing-masing mempunyai kuasa veto ialah China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain Lithuania, anggota tidak tetap yang akan kekal dalam majlis sehingga akhir 2015 ialah Chad, Chile, Jordan dan Nigeria.

Pemilihan ini sekali gus membuktikan pengiktirafan dunia terhadap komitmen negara dalam usaha membantu negara-negara luar yang ditimpa bencana atau perkara seumpamanya.

Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali iaitu pada 1965, 1989 hingga 1990 dan bagi tempoh 1999 hingga 2000.

Sebelum ini Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin melahirkan keyakinan Malaysia akan memenangi kerusi berkenaan.

Kata Hamzah, ia sejajar dengan usaha gigih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang bertungkus-lumus mahu mencapai kedudukan itu.

Di bawah Piagam PBB, Majlis Keselamatan mempunyai tanggungjawab utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.