Manifesto Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanyalah cadangan bersifat populis dan bertujuan untuk menarik sokongan orang muda.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, cadangan tersebut hanya untuk mendapatkan undi tanpa memikir kesan kepada negara dan rakyat dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, jika hutang tersebut dihapuskan, ia sebenarnya hanyalah memindahkan hutang peminjam kepada kerajaan dan akhirnya 30 juta rakyat Malaysia pula perlu membayar wang berkenaan.

"Cadangan mereka untuk hapus hutang PTPTN tidak realistik, tidak berpijak di bumi nyata. Jumlah hutang sekarang mengikut rekod kita sehingga Mac 2018 berjumlah RM52.84 bilion.

"Kena ingat bahawa wang yang kita beri kepada pelajar adalah wang dipinjam daripada institusi kewangan dan penjualan sukuk. Jadi kalaulah hutang dihapuskan, 2.8 juta pelajar tidak perlu bayar tapi hakikatnya PTPTN dan kerajaan perlu juga bayar hutang itu.

"Ia bermaksud pindahkan bebanan itu kepada kerajaan dan dengan sendirinya akan meningkatkan jumlah hutang negara," katanya ketika ditemui semasa program Servis Motosikal Percuma di Lawin, di sini, pagi tadi.

Tambah beliau, kerajaan perlu menyediakan dana sehingga RM4 bilion setiap tahun bagi kira-kira 200,000 pelajar yang mahu melanjutkan pengajian dan jika PTPTN tiada, kerajaan perlu ambil dana dari bahagian lain pula.

"Kalau itu janji mereka nak bagi (hapus hutang PTPTN), bermakna kerajaan mungkin kena potong perbelanjaan lain seperti pembangunan, kesihatan. Terpaksa ambil dana lain untuk tampung dana yang tiada.

"Ia sebenarnya tidak adil kerana cadangan itu membebankan kerajaan. Yang baiknya adalah kaedah kita laksanakan sekarang. Pelajar lepasan universiti tidak perlu bayar selama 12 bulan, bulan ke 13 baru bayar hutang PTPTN.

"Jika ada hadapi masalah untuk bayar balik kerana mendapat pekerjaan di bawah paras kelayakan atau tidak bekerja, kita boleh tangguh sampai 36 bulan. Saya percaya dalam tempoh itu mereka boleh dapatkan kerja," ujar penyandang bagi kerusi Parlimen Lenggong itu.

Katanya lagi, cadangan-cadangan pelik daripada pihak pembangkang seperti menghapuskan GST dan tol akan membuatkan bebanan kewangan bertambah manakala pendapatan kerajaan pula berkurang.