KUALA LUMPUR: Hubungan Pas dan UMNO di peringkat akar umbi dan pimpinan tertinggi masih baik, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keyakinan itu disuarakan di sebalik keputusan Pas yang menegaskan akan meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Kerjasama (dengan Pas) berjalan seperti biasa di peringkat cawangan, bahagian. Saya percaya bulan Ramadan ini akan ada banyak program bersama, program keagamaan.

"Program telah ditetapkan dan saya percaya ia akan diteruskan. Sebenarnya, hubungan akar umbi dan peringkat tertinggi pun masih seperti dulu.

"Tiada isu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) ditanya berhubung status Muafakat Nasional (MN) dan pendirian Pas tersebut yang dinyatakan pada Rabu.

Menurut Ismail Sabri, kedua-dua UMNO dan Pas dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

"Biasanya setiap dua minggu sekali kita akan adakan mesyuarat bersama, iaitu UMNO dan Pas. Mungkin selepas ini kita akan bincang dan bawa perkara berkaitan hubungan ini.

"Tetapi setakat ini, usul keempat atau kelima dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini adalah perkukuhkan kerjasama dengan Pas dalam MN," ujarnya.


Pada PAU 2020 yang berlangsung hujung minggu lalu, Perwakilan UMNO sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada PRU15. 

Pada Rabu, Pas dan Bersatu dalam satu kenyataan bersama sepakat mengumumkan meneruskan kerjasama bagi berdepan PRU15.

Kedua-dua parti itu menegaskan, mereka menolak sebarang bentuk 'penjajaran baharu' untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Bersatu dan Pas juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.