SHAH ALAM: Pas mengumumkan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dan bekas calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk Dr Mazlan Ismail menyertai parti itu secara rasmi.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kedua-dua figura itu merupakan sahabat lama dan sentiasa berhubung walaupun berbeza perjuangan dalam arena politik.

“Alhamdulillah akhirnya mereka bersama dengan keluarga besar Pas. Parti ini terbuka kepada sesiapa yang mahu bersama dan tidak pernah memaksa untuk turut serta.

“Pas hanya mengajak orang menyertai perjuangan tanpa menjanjikan bulan dan bintang. Mereka yang sertai Pas pasti faham.

“Insya-ALLAH mereka memahami dasar dan agenda perjuangan parti. Semoga mereka istiqamah dalam perjuangan Pas,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Ahad.

Penyertaan Mohamad Ezam dan Mazlan diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Muktamar Pas kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh, Pahang. - Sinar Harian