ISTANBUL: Real Madrid menjadi kelab bola sepak pertama mencatatkan pendapatan sebanyak EUR1 bilion (US$1.04 bilion) dalam satu musim, menurut laporan tahunan Deloitte Football Money League yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

"Secara keseluruhan, kelab dalam Money League pada 2023/24 menjana rekod pendapatan berjumlah EUR11.2 bilion, meningkat 6 peratus berbanding musim 2022/23, dengan pendapatan rekod daripada perlawanan, komersial dan siaran," menurut laporan itu.

"Pada 2023/24, kelab purata dalam Money League menjana pendapatan sebanyak EUR560 juta, merangkumi EUR244 juta (44 peratus) daripada pendapatan komersial, EUR213 juta (38 peratus) daripada pendapatan siaran, dan EUR103 juta (18 peratus) daripada pendapatan perlawanan."

Deloitte melaporkan bahawa Real Madrid, yang mendapat manfaat daripada pengubahsuaian Stadium Santiago Bernabeu, meningkatkan hasil tiketnya sebanyak 103 peratus kepada EUR248 juta. Kelab itu turut memperoleh EUR316 juta daripada hak penyiaran dan EUR482 juta daripada perjanjian penajaan.

Setelah menamatkan musim lalu dengan pendapatan EUR831 juta, Real Madrid berjaya melepasi paras EUR1 bilion pada musim ini, dengan peningkatan sebanyak 26 peratus.

Menurut laporan terkini Deloitte Football Money League, Manchester City menduduki tempat kedua dengan pendapatan EUR838 juta, manakala Paris Saint-Germain berada di tempat ketiga dengan EUR806 juta.

-- BERNAMA