Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman dinasihat membuat laporan polis jika mengetahui wujudnya komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berkata, sebarang tuduhan tanpa laporan polis hanya akan menimbulkan keraguan masyarakat.

Menurutnya, semua pihak berkenaan perlu membuat laporan polis dan tidak hanya bercakap bagi menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

"Azalina perlu membuat laporan polis kalau dia menuduh ada komplot untuk menjatuhkan Najib. Kalau kata salah undang-undang buatlah laporan.

"Muhyiddin juga perlu membuat laporan polis seandainya mengakui pernah melihat dokumen seperti yang didakwanya.

"Jangan main sedap mulut sahaja, rakyat akan pening kalau hanya cakap sahaja tanpa tindakan membuat laporan," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini hari ini.


Ibrahim berkata, dakwaan dari banyak pihak hanya menyebabkan rakyat makin keliru dan sukar mempercayai tuduhan seumpama itu lagi.

Ibrahim mengulas dakwaan Azalina yang mendakwa wujud konspirasi peringkat tertinggi mahu menjatuhkan Najib sekali gus merampas proses demokrasi dan pemilihan oleh rakyat pada pilihan raya umum lepas.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mendakwa beliau diberi taklimat oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail apabila mereka masih menyandang jawatan masing-masing mengenai bukti dakwaan jenayah terhadap Najib.