SUBANG JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menegaskan sokongan kedua-dua parti bekenaan dalam kerajaan Persekutuan adalah bersyarat iaitu perlu dihormati dan dirundingi, berdiri atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan.

Bersatu dan Pas juga memutuskan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam Muzakarah Bersatu dan Pas juga, kata sepakat dicapai untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dua parti itu sebagai ‘satu pasukan’ sehingga ke peringkat jentera akar umbi.

"Mempertegaskan sokongan Pas dan Bersatu dalam kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, di atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan.

"Menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional," kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu merumuskan resolusi yang dicapai pada Muzakarah Bersatu dan Pas dalam sidang media pada Sabtu.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Resolusi itu juga, kata Muhyiddin, melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik.

Bersatu dan Pas juga, tegas beliau, akan berusaha melonjakkan sokongan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda.

"Melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

"Mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan 'undi penentu' dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat," katanya lagi.

Muzakarah kedua-dua parti itu juga melahirkan resolusi untuk mendukung 'prinsip bersama' di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

Selain itu Bersatu dan Pas juga bersetuju untuk menuju 'visi dan hala tuju bersama' ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

Resolusi itu juga menyebut, Bersatu dan Pas akan memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional merentasi platform bukan politik, berteraskan nilai kepercayaan bersama dan perkongsian saksama.