KUALA LUMPUR: Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyatakan keyakinannya terhadap masa depan parti itu dan menegaskan bahawa mereka memerlukan masa bagi mengukuhkan kedudukannya di persada politik negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih dalam fasa pembangunan walaupun sudah lapan tahun ditubuhkan.

“Saya tidak akan menyifatkannya sebagai kegagalan.

“Saya akan mengatakan ia adalah jurang, satu jurang besar yang perlu ditangani oleh kepimpinan masa depan Bersatu,” kata beliau kepada Astro AWANI pada Selasa.

Beliau berkata demikian apabila bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan menyatakan bahawa Bersatu gagal dari segi membentuk naratif, kekurangan dasar yang jelas, dan tidak berjaya membangunkan retorik yang kukuh.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau optimis bahawa kepimpinan sedia ada akan mampu menangani cabaran tersebut.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan formula peralihan, di mana Hamzah Zainuddin kini dilantik sebagai Timbalan Presiden.

“Saya percaya gabungan Hamzah dan Muhyiddin, pasti akan memberikan hala tuju masa depan Bersatu lebih baik dalam usaha meraih sokongan pengundi kita menjelang PRU-16,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Bersatu masih parti yang muda, ia telah memberikan impak besar di Parlimen, dengan kebanyakan pendebat adalah dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu.

Baginya, gabungan pemimpin baharu dan lama dalam parti akan memastikan Bersatu terus relevan dan kuat.

"Kami hanya perlu memperkukuhkan kekuatan di peringkat akar umbi dan menyelesaikan cabaran politik dalaman.

“Beri kami masa, dan insya-Allah, kami akan buktikan keupayaan kami," katanya.