"Setakat ini tiada lagi," katanya ringkas ketika ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang notis atau tindakan susulan berhubung perkara itu.
Beliau berkata jika melihat kepada Perlembagaan, keputusan Speaker Dewan Rakyat dalam hal-hal yang berhubung dengan dewan adalah muktamad.
Johari bagaimanapun berkata sebagai rakyat Malaysia, sesiapapun berhak untuk mengambil tindakan mahkamah kerana itu adalah hak setiap rakyat negara ini.
"Jadi bagi saya itu hak dia (Bersatu), dia boleh gunakan tetapi saya belum dengar lagi tetapi dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mereka akan (ambil tindakan susulan).
"Jadi saya tidak tahu macam mana sekarang, tetapi hak dia, saya tidak mahu sentuh (perkara tersebut) itu hak citizen masing-masing, dia boleh buat," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin berkata Bersatu memutuskan mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan bagi mengambil tindakan sewajarnya dalam menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Bersatu.
Sebelum itu Muhyiddin melahirkan kekecewaan dengan keputusan Johari yang menyatakan tidak berlaku kekosongan kerusi enam Ahli Parlimen yang dipecat parti itu.
Berhubung gesaan PN yang menyeru kerajaan segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi mengambil ketetapan tegas dalam konflik membabitkan nyawa dan masa depan Palestin, Johari berkata pernyataan mengenai isu itu telah pun dilakukan Dewan Negara, Khamis lepas.
"Kejadian berlaku dengan pantas, terus kita ambil inisiatif untuk Menteri Luar memberi penerangan khas di Dewan Negara.
"Malah semalam himpunan di Axiata melibatkan jumlah besar orang yang juga memohon pemimpin berucap dan saya juga turun menceritakan apa yang berlaku sebab sayalah anak Malaysia yang terakhir berjumpa dengan Allahyarham Ismail Haniyeh," katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pernyataan di Dewan Negara berkata pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh mempunyai beberapa implikasi yang amat besar terhadap kestabilan dan keamanan global, yang mewujudkan ancaman tercetus peperangan serantau di Timur Tengah.
-- BERNAMA