SELAYANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini hanya menunggu saranan daripada peguam sebelum mengambil langkah seterusnya berkaitan keputusan tiada pengosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri. 

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, segala maklumat sudah diserahkan kepada peguam yang akan membuat penelitian sebelum mengemukakan cadangan tindakan lanjut kepada pemimpin Bersatu.

Menurutnya, selepas proses itu selesai, barulah pihaknya akan mengambil tindakan bersesuaian dan tegasnya, ia akan berlaku dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, ketika ditanya kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang untuk perkukuh Akta Lompat Parti, beliau menegaskan enggan berbincang soal tersebut.

“Saya tak nak bincang soal itu. nanti dia kata itulah sebab, akta ini tidak cukup, ke tidak lengkap ke.

“Keputusan dibuat Speaker ikut pandangan pakar-pakar undang-undang pun tak betul. Ada pihak dalam PKR sendiri, Ahli Parlimen Pasir Gudang (Hasan Karim) kata ini tidak betul.

“Bekas Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Haurun pun kata tidak betul. Banyak orang kata tak betul. Pakar juga nasihatkan kami (mengenainya),” katanya.

Tambah beliau, Bersatu konsisten menolak keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan menegaskan beliau tidak sepatutnya membuat keputusan sebegitu.

Tegasnya, undang-undang jelas memberitahu, sekiranya seseorang Ahli Parlimen terhenti daripada menjadi ahli dalam parti, maka kerusi mereka akan dikosongkan secara automatik.

“Pada saya Speaker patut umum saja, tak bokeh tafsir itu ini tapi tak mengapalah, kita akan ambil langkah-langkah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Konvensyen Bersatu di Selayang pada Sabtu.