Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 juga dilihat cuba mengimbangi keperluan rakyat terutama dalam mendepani isu kos sara hidup dengan menaikkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion.
"Peluasan cukai jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pengenalan cukai ke atas dividen dijangka dapat memastikan pengurangan defisit fiskal pada 2025.
"Selain itu, dasar gaji minimum serta dasar gaji progresif akan memastikan gaji para pekerja terus dapat ditingkatkan seiring dengan tahap produktiviti negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamad menambah kerajaan mengambil berat dalam pendekatan mereka untuk memastikan defisit fiskal akan dikurangkan secara beransur-ansur.
Jelas beliau, secara umumnya, konsolidasi fiskal terus berlaku dan ia menunjukkan Kerajaan MADANI sentiasa mementingkan aspek displin kewangan.
"Pada masa yang sama, sentiasa membela nasib rakyat dengan saksama dan inklusif dengan dasar ekonomi yang membantu dalam meningkatkan kuasa beli rakyat seperti STR, SARA serta bantuan awal persekolahan," ujar Mohamad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 yang tertinggi yang pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan serta tidak termasuk RM2 billion simpanan luar jangka.