Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan Fakulti Kecerdasan Buatan Pertama Negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan institusi pendidikan negara kini di landasan yang tepat.
"Universiti Malaya (UM) menumpukan AI bidang perubatan bagi menangkis penyakit maut seperti kanser, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit.
"(Manakala), Universiti Sains Malaysia (USM) menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula akan menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Pada masa sama, menurut Anwar, Kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta.
Tambahnya, dana aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
"Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) turut disediakan dana RM170 juta. Tabung ini akan dimanfaatkan untuk menyediakan geran padanan untuk badan swasta dan industri memacu program R&D.
Jelas Anwar lagi, Program Malaysia Techlympics juga akan diberi peruntukan sebanyak RM10 juta sebagai dorongan bagi melahirkan anak tempatan yang pakar alam bidang robotik dan teknologi AI.