BESUT: Inisiatif Kampung Angkat MADANI yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2024 telah membawa banyak perubahan kepada 43 kampung di seluruh negara.

Ia bertujuan mencari kaedah terbaik dalam memudah cara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung, sekali gus merapatkan jurang kemudahan asas.

Antara yang menerima manfaat inisiatif ini adalah penduduk di 10 buah kampung dalam Mukim Hulu Besut, Terengganu.

Sebelum ini, hampir 5,000 penduduk di 10 kampung dalam Mukim Hulu Besut terpisah dengan pelbagai jurang kemudahan dan pembangunan yang dinikmati  penduduk di bandar.

Namun, mukim paling ceruk di daerah Besut itu berubah wajah selepas dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Kewangan.

Menurut Penghulu Mukim Tenang dan Hulu Besut, Wan Mohd Najib Wan Mohd Yusof, menerusi inisiaitf kerajaan pusat itu, beberapa permasalahan penduduk setempat dapat diatasi.

Antaranya projek pembangunan fizikal pembinaan jambatan kecil dan sistem perparitan, pembinaan gelanggang petanque, sepak takraw dan futsal.


“Banyak manfaat yang kita perolehi menerusi inisiatif ini terutama kepada penduduk yang selama ini kemudahan infrastruktur itu agak kurang.

“Namun selepas program Kampung Angkat MADANI dilaksanakan pelbagai manfaat diterima termasuk pusat penempatan banjir, tambah baik surau, serta jambatan baharu.

“Ini semua adalah untuk keselesaan penduduk setempat," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.



Jelasnya, apabila tiba musim tengkujuh, kawasan kampung mereka juga tidak akan terlepas dari dilanda bencana banjir.

Justeru, Kementerian Kewangan menerusi inisiatif berkenaan telah menyediakan empat pusat pemindahan kekal bagi membolehkan mangsa terjejas akibat bencana  berlindung.

“Sebelum ini kita hanya ada pusat pemindahan sementara banjir sahaja yang mana setiap mangsa banjir yang berpindah akan menumpang di surau, sekolah malahan ada yang menunpang di rumah perseorangan.

“Jadi dengan bantuan program ini telah terlaksana empat pusat pemindahan kekal di Mukim Hulu Besut ini dan sekali gus dapat mengurangkan beban yang ditanggung penduduk," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan turut menyerahkan 25 bot penyelamat banjir bernilai RM200,000 kepada Pejabat Daerah Besut untuk kegunaan 10 kampung di Mukim Hulu Besut.

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi 43 Kampung Angkat MADANI di seluruh negara dengan pengagihan RM2.5 juta bagi setiap kampung.