Rakyat Malaysia yang baharu pulang dari luar negara ke Sarawak pada hari yang sama perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pusat kuarantin mereka bergantung pada destinasi terakhir ketibaan mereka di negeri tersebut.

“Misalnya, sekiranya mereka tiba dari Kuala Lumpur dan melakukan transit di Kuching ke destinasi terakhirnya di Miri, mereka akan dikuarantin di bandar itu.

“Ujian COVID-19 (PCR) akan diambil pada hari kedua. Jika keputusan mereka negatif, mereka akan menyambung baki kuarantin di rumah,” ujarnya pada sidang media JPBN di Kuching hari ini.

Tambahnya, ujian saringan kedua pula akan diambil selepas hari ke 10.

Dalam sidang media sama, Uggah turut memaklumkan pihak JPBN telah memperhalusi Prosedur Operasi Standard (SOP) beberapa sektor ekonomi termasuk SOP pemindahan bahan bantuan perlombongan, operasi teksi dan E-Hailing.

Antara lain yang ditambah baik, SOP pasar tani di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang akan berkuatkuasa pada 26 Jun ini.

Jelas Uggah lagi, garis panduan melibatkan makanan berpremis, peruncitan atau serbaneka juga telah dibuat penambahbaikan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.



Sementara itu, Uggah turut mengumumkan kemasuk warga Indonesia ke negeri itu hanya dibenarkan dengan syarat mereka perlu memiliki permit kerja yang sah dari syarikat majikan.

“Mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari. Kos kuarantin serta ujian COVID-19 pada hari ketibaan dan hari ke-10 akan ditanggung oleh majikan,” tegasnya.

Selain itu, terdapat pertambahan kluster terbaharu melibatkan sebuah tapak pembinaan di Kuching hari ini.

Menurut laporan JPBN, mangsa adalah merupakan ketua penyelia kepada dua warga Indonesia yang didapati positif COVID-19 pada 16 Jun lalu.

BACA: COVID-19: KKM kenal pasti tiga kluster baharu, ini perinciannya

Mereka dilaporkan dari syarikat pembinaan yang sama.

Justeru, pihak JPBN telah mengenal pasti setiap kontak rapat kepada kes tersebut termasuk ahli keluarga mangsa bagi menjalani kuarantin dan ujian saringan selanjutnya.

Perkara tersebut turut disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya di Putrajaya pada Rabu.