TANGKAK: Seorang wanita berusia 49 tahun mengalami kerugian sebanyak RM140,000 selepas terperdaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai anggota polis. 

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib dalam satu kenyataan berkata mangsa menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dan menuduh mangsa terlibat dalam kes penipuan pelaburan saham.

Suspek turut mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan bagi tujuan audit. 

“Dipercayai akibat panik, mangsa mengikut arahan suspek dengan membuat enam transaksi ke dalam empat akaun bank yang disyaki sebagai ‘mule account’,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan. 

Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang mencurigakan, terutama melibatkan dakwaan kes jenayah atau pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat. 

Selain itu, masyarakat disarankan membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai juga digalakkan mengikuti maklumat terkini mengenai modus operandi penipuan melalui laman media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Facebook, Instagram, dan TikTok. 

Sekiranya menjadi mangsa penipuan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera bagi menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek.