KUALA LUMPUR: Unit bergerak bagi vaksinasi COVID-19 akan diaktifkan untuk memvaksin golongan warga emas dan kumpulan rentan yang berhadapan isu untuk ke pusat vaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata golongan ini perlu mendaftarkan diri bagi vaksinasi terlebih dahulu agar usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dapat digerakkan bagi tujuan tersebut.

Katanya, petugas Pusat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuat penilaian terhadap golongan berkenaan bagi membolehkan usaha memvaksin mereka yang dijadualkan dalam Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Sekarang kita mempunyai mobile unit (sedia ada), yang merupakan sebahagian dalam program vaksinasi KKM.

"Sebagai contoh, kita tidak mengharapkan Orang Asli untuk datang kepada kita, kita akan datang kepada mereka (untuk vaksinasi)," katanya dalam sesi libat urus media darurat COVID-19 siri 3/201 secara dalam talian di sini pada Khamis.

Sesi kali ketiga itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM Dr Kalaiarasu Peariasamy dan Ketua Sektor (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Mohd Hanif Zailani.

Dr Noor Hisham berkata ini adalah salah satu inisiatif dalam memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan bagi Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekali gus mencapai imuniti kelompok dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus daripada penduduk Malaysia divaksin.

Ia bertepatan aspirasi Pelan Imunisasi Kebangsaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) iaitu 'Lindung Diri, Lindung Semua' yang mana proses vaksinasi di Malaysia bermatlamat memberi manfaat kepada semua rakyat.

Dr Kalaiarasu berkata kesemua mereka yang akan divaksin dibuat penilaian klinikal terlebih dahulu sebagai persediaan rawatan kecemasan dan meminimumkan risiko kepada individu terlibat.

Beliau turut memberi jaminan setiap kelompok vaksin yang akan digunakan dipantau mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melalui proses kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, manakala pemantauan kesan sampingan susulan imunisasi akan dilakukan KKM.

Vaksinasi COVID-19 adalah secara sukarela dan diberikan percuma kepada semua penduduk berusia 18 tahun ke atas sama ada warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan dalam tiga fasa dengan sasaran seramai 500,000 petugas barisan hadapan menerima vaksin untuk fasa pertama dari Februari hingga April, fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi dan fasa ketiga bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula Mei hingga Februari tahun depan.

Dr Mohd Hanif pula berkata untuk fasa pertama bermula 26 Feb ini, kira-kira 5,000 petugas dan sukarelawan dari pelbagai agensi telah melalui latihan secukupnya dan bersedia memulakan tugas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata petugas media yang juga dianggap sebagai antara petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 akan dipertimbangkan untuk menerima vaksin bagi fasa pertama, sekiranya perlu.

"Pertama perkhidmatan kesihatan, kami akan lihat kepada perkhidmatan penting termasuk media untuk dimasukkan dalam fasa pertama, mungkin di akhir (fasa pertama)," katanya.

-- BERNAMA

Semua berita vaksin COVID-19