Universiti Majlis Amanah Rakyat (UniMara) akan diwujudkan awal tahun depan dengan pengambilan awal kira-kira 200 pelajar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata universiti berkenaan akan diwujudkan di bawah program Transformasi Luar Bandar dengan kampus utama dimulakan di sini.

Katanya Mara telah mempunyai lesen menjalankan operasi pusat pengajian itu yang lebih tertumpu kepada peningkatan akademik pelajar berbanding kampus.

"Untuk permulaan kita akan ambil 200 pelajar. Bagi peringkat awal kita telah sewa bangunan di Kuala Lumpur ini. Kita mula kampus utama di sini dahulu.

"Di masa depan kita akan besarkan lagi. Mungkin ada bangunan sendiri. Itu untuk masa depan. Peringkat awal kita pentingkan pengisian pembelajaran dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Mara 2015 di sini, malam tadi.

Terdahulu Ismail Sabri menyampaikan cenderamata kepada 280 kakitangan Mara yang terdiri daripada 95 yang bersara wajib, 103 bersara pilihan, 26 kakitangan pencen terbitan dan seorang kakitangan pencen kesihatan.

Turut menerima cenderamata adalah 30 kakitangan yang berkhidmat selama 25 tahun dan 25 petugas lagi yang berkhidmat selama 40 tahun.

Kesemua penerima menerima cenderamata penghargaan berupa Al-Quran digital.