Dengan meletakkan objektif utama iaitu keinginan untuk menjadi lebih baik daripada tahun lepas atau untuk mengislah diri dan masyarakat ke arah yang lebih mulia demi menghadapi cabaran yang mendatang.
Maka sepatutnya ruang ini juga hendaklah dijadikan sebagai satu ruang untuk kita asatizah bersama-sama menilai kembali diri kita.
Kita yang menjadi seolah-olah hati kepada masyarakat yang merupakan sebuah tubuh badan seperti yang digambarkan oleh Baginda SAW berkenaan kedudukan hati iaitu "jika baik maka baiklah seluruh jasadnya, dan jika buruk maka rosaklah seluruh tubuh itu". Kitalah hati tersebut yang menjadi penentu kepada rupa bentuk umat ini.
Di tahun-tahun akhir ini kita menyaksikan umat Islam keseluruhannya diasak dari segala sudut, samada saudara kita yang duduk berjauhan di negara lain atau pun kita sendiri yang berada di bumi bertuah Malaysia.
Saudara kita disana diuji dengan pelbagai ujian khususnya pada sudut penyeksaan jasad atau nyawa sedangkan kita juga diuji khususnya pada sudut kefahaman dan gambaran fikrah yang sangat halus.
Walaupun keduanya dalam bentuk yang berbeza, apa yang pasti adalah umat ini terus ditekan serta diratah oleh musuh secara berjemaah.
Daripada Tsauban R.A berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:“Akan tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." (Riwayat Abu Daud)
Secara logik akal, sepatutnya apabila kita ditekan maka kita akan bersatu dan bersama namun atas kebijakan musuh atau lemahnya kita dalam memahami keadaan ini maka yang berlaku adalah sebaliknya.
Disebalik ratahan dan tekanan ini kita terus berpecah dan bertengkar sesama kita, saling menyesatkan antara satu sama lain bahkan hingga ke tahap saling mengkafirkan sesama kita.
Tidak pelik jika ianya hanya sekitar masyarakat awam kerana kurangnya pengetahuan agama pada mereka, namun yang menjadi tanda tanya bagaimana pertengkaran ini boleh berlaku pada mereka yang merupakan pewaris kepada Nabi.
Perbalahan yang tidak berkesudahan pada perkara-perkara furu' sedangkan banyak lagi masalah-masalah besar yang sedang dihadapi oleh umat ini.
Pergaduhan tentang kedudukan tangan ketika berdiri dalam solat sedangkan bilangan yang tidak solat dikalangan masyarakat jauh peratusnya berbanding mereka yang solat, diperdebatkan tentang bilangan rakat tarawikh sedangkan ramai lagi yang sibuk menonton panggung wayang atau melepak di malam Ramadan, bertengkar berkenaan zikir selepas solat sedangkan majoriti daripada umat ini masih lagi merangkak dalam membaca al-Quran.
Lalu adakah perselisihan dan pergaduhan ini secara tepat membantu membangunkan jiwa ummah?
Ibnu Muflih rahimahullah menyebut dalam kitab Al-Adab As Syar’iah bahawa Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata:
Bukanlah fuqaha’ itu seorang yang memaksa manusia untuk berpegang dengan hanya pandangan atau mazhabnya sahaja serta bersikap keras menolak mazhab-mazhab lain.
Hakikatnya apa yang masyarakat perlukan bukanlah kefahaman terlalu mendasar (ilmiah) dalam ilmu aqidah tetapi yang mereka kehendaki adalah bagaimanakah kefahaman syahadah itu dapat diimani dengan mendalam hingga mampu diterjemahkan dalam seluruh tindak tanduk kehidupan.
Yang mereka perlukan adalah bagaimana kalimah lailahaillah mampu membina perasaan izzah hingga merasa bangga dan mulia atas nikmat Islam lalu tidak terpengaruh dengan kesesatan falsafah barat dan juga agama mereka.
Hal yang sama juga dalam soal ibadah, apa yang masyarakat perlukan adalah kefahaman akan intipati maani solat hingga mampu menjadi pendinding kepada segala maksiat dan perbuatan buruk dalam kehidupan, begitulah juga dalam semua perkara-perkara yang lain.
Realiti yang tidak pernah dapat kita nafikan adalah yang hilang pada umat ini bukanlah gerak geri perbuatan ibadah tersebut, tetapi yang hilang adalah nilai-nilai penghayatan dalam ibadah.
Yang membezakan kita dengan Sahabat RA terdahulu adalah mereka memahami nilai ibadah itu bukanlah sekadar pada lingkungan diri sendiri, tapi hinggakan ianya menjadi satu motivasi ke arah mengangkat panji-panji Islam untuk menguasai dunia.
Sebab itulah jika kita perhatikan dalam Al-Quran perkara pertama yang dikaitkan tugasan utama bagi sebuah pemimpin Negara disisi Islam bukanlah berbicara soal rasuah, keadilan dan lain-lain. Tetapi hal yang pertama adalah solat dan zakat! kerana hakikatnya besarnya nilaian ibadah dalam pengurusan sebuah negara ini jika dapat difahami dengan betul.
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Al Hajj: 41)
Bukanlah dalam tulisan ini supaya kita meninggalkan perbincangan fiqh dan aqidah secara ilmiah tetapi biarlah berlakunya kesimbangan dalam cara kita mendidik umat sehingga tidak terlalu fokus pada satu sudut sahaja.
Kita juga perlu bijak mengurus perselisihan antara kita agar ianya tidak mengundang kepada mudharat yang jauh lebih besar iaitu berpecah-belahnya umat Islam. Sesungguhnya apabila Allah SWT menyatakan kesatuan itu adalah nikmat maka hakikatnya perbalahan itu adalah bala bencana!
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara (Ali Imran : 103)
Di tahun kebelakangan ini juga, kita menyaksikan semakin ramai umat Islam terpengaruh dengan bentuk-bentuk kefahaman Islam yang sesat.
Samada yang terpengaruh dengan kelompok yang bermain-main dengan dalil iaitu golongan liberal atau kelompok yang bermudah-mudah dalam menggunakan dalil iaitu golongan ekstrimis.
Kita sepatutnya jujur menyatakan berkenaan fenomana ini boleh jadi kita menjadi salah satu faktor keadaan ini terjadi. Kerana kita sibuk mendidik umat untuk bertengkar pada perkara-perkara kecil hingga membiarkan kelompongan tasawwur dan juga fikrah mereka dibina oleh golongan lain yang memang berniat merosakkan Islam.
Segala peristiwa dan juga keadaan ini sepatutnya menjadi satu muhasabah kepada kita. Pengiktirafan terhadap segala kelemahan kita selama ini perlu diterjemahkan kepada suatu azam di tahun baru untuk kembali bersungguh dalam membina setiap peribadi umat ini.
Kita hendaklah dengan segera sedar bahawa warisan kita daripada Baginda SAW bukanlah sekadar pada ilmu tetapi juga pada kesungguhan berjuang untuk membina serta menyatukan umat ini supaya kembali menyempurnakan tugasan utamanya sebagai "khaira ummah".
Ingatlah bahawa apabila syaitan meletakkan perpecahan umat sebagai projek mereka sepanjang zaman maka kita sepatutnya meletakkan penyatuan umat itu sebagai agenda sepanjang masa!
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu (Al-Maidah : 91)
Ustaz Muhammad Firdaus Zalani adalah seorang pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS).
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.