Ringkasan AI
- Ibadah haji mengajar umat Islam untuk meninggalkan sikap keakuan dan merasa megah, serta menekankan pentingnya sifat rendah diri dan kesamarataan di hadapan Allah SWT.
- Tanah Suci menjadi tempat berkumpulnya umat Islam dari seluruh dunia, mendorong saling mengenal dan toleransi antara satu sama lain.
- Fakhrur menasihatkan umat Islam agar tidak takut melaksanakan haji jika mampu dari segi kesihatan, kewangan, dan keselamatan, kerana ibadah ini mengingatkan kekurangan dan kelemahan diri.
Pengurus Bimbingan Haji Lembaga Tabung Haji Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman berkata umat Islam perlu memiliki sifat rendah diri antara satu sama lain yang mana Tanah Suci menjadi lokasi berhimpunnya umat Islam di seluruh dunia untuk saling mengenal satu sama lain.
"Atas sebab itu Allah SWT himpunkan umat Islam di Tanah Suci menjadikan kita saling mengenali atau lebih untuk kita kenal.
"Kadang-kadang orang yang sama warna dengan kita, orang yang sama bangsa dengan kita, kadang-kadang kita tak mengenali caranya atau budayanya yang macam mana.
"Jadi, Allah kumpulkan kita pada hari ini supaya wujud satu sifat toleransi dalam kehidupan kita untuk kita mencapai satu titik temu yang boleh untuk kita bersatu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Jejak Ke Al-Haramain pada Sabtu.
Tambahnya, dengan hanya memakai dua kain putih, ibadah haji mengajar erti menginsafi kekurangan dan kelemahan diri selain lambang kesamarataan di hadapan Allah SWT.
Dalam pada itu, Fakhrur juga menasihatkan umat Islam agar tidak takut untuk datang ke Tanah Suci melaksanakan rukun Islam kelima itu sekiranya berkemampuan daripada segi kesihatan, kewangan, keselamatan, dan mempunyai kebenaran untuk menunaikannya.
"Sebenarnya kita semua adalah pendosa, hikmah daripada kita memakai pakaian yang sama pada hari ini berihram serba putih dengan niat dan tujuan yang sama untuk mendapatkan atau menyelesaikan tuntutan ibadah kita sebagai seorang Muslim melaksanakan kewajiban haji.
"Jauh atau lebih daripada itu kita melihat bagaimana Allah SWT telah menggambarkan kepada kita yang kita semua ini tidak ada perbezaan pun. Baik dari sudut perbezaan kaum ataupun suku bangsa, ataupun jantina," katanya lagi.