KUALA LUMPUR: Potensi pelaburan patut syariah kekal kukuh walaupun terdapat ketidakstabilan pasaran dan kadar faedah yang tidak menentu.

Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, pelaburan syariah menawarkan alternatif yang menarik kerana ia tidak dipengarugi oleh kadar faedah.

Kata Sedek, dalam menghadapi krisis geopolitik, pelaburan yang mematuhi syariah mungkin kurang terjejas berbanding pelaburan konvensional.

"Ciri unik ini meningkatkan daya tarikannya, terutamanya apabila dinamik pasaran sangat dipengaruhi oleh kadar faedah,

"Ini boleh melindungi mereka dari kesan negatif persekitaran kadar faedah yang tinggi," kata beliau.

Beliau berkata, krisis geopolitik cenderung menyebabkan pelabur beralih daripada aset berisiko, namun pelaburan syariah yang kurang terjejas daripada ketegangan geopolitik mampu memberikan daya tahan yang lebih baik.

Di samping itu, berkenaan dengan kekurangan sumber semula jadi, pelaburan yang mematuhi syariah sering diarahkan ke arah projek yang mampan dan mesra alam.

"Contohnya, sukuk hijau yang membiayai tenaga boleh diperbaharui dan aset alam sekitar lain selaras dengan prinsip kewangan Islam yang menekankan pengurusan bumi dan keadilan sosial,

"Ini bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar tetapi juga memenuhi keperluan pelabur yang mencari pelaburan yang bertanggungjawab dan lestari," tambah beliau.

Katanya, dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, pelaburan ini dapat memberikan ketenangan dan keyakinan kepada pelabur yang mencari kestabilan dan keberkesanan dalam pelaburan mereka.

Beliau berkongsi pandangan dalam program Niaga AWANI pada Selasa.

Pelaburan patuh shariah: Bukan sekadar halal haram

Pada masa sama, semasa sesi panel bertajuk "Memupuk Peningkatan Kewangan melalui Pasaran Modal" di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF), Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sebanyak 820 syarikat atau 81.3 peratus daripada keseluruhan 1,009 syarikat senaraian awam (PLC) di Bursa Malaysia patuh Syariah setakat 27 Mei, 2024.

Abdul Wahid juga menyatakan bahawa saiz pasaran modal Islam Malaysia menyumbang 63 peratus atau RM2.5 trilion daripada jumlah saiz pasaran modal Malaysia sebanyak RM3.95 trilion pada akhir Mac 2024.