JAIPUR: Kumpulan dan sarjana Islam di India semakin giat menentang rang undang-undang (RUU) kontroversi mengenai harta wakaf Islam.

Mereka mengkritik Rang Undang-Undang Pindaan Wakaf 2024 yang dicadangkan, sebagai satu pencabulan hak asasi perlembagaan yang asas dan usaha untuk melemahkan pengurusan komuniti Muslim terhadap hartanya seperti masjid, tanah perkuburan, dan institusi kebajikan.

Beberapa perhimpunan dan persidangan telah diadakan di seluruh India bagi membantah RUU itu sejak ia diperkenalkan di Dewan Rakyat pada Ogos oleh Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Parti Bharatiya Janata (BJP).

Lembaga Undang-Undang Peribadi Muslim Seluruh India (AIMPLB), sebuah organisasi penaung, menolak sepenuhnya rang undang-undang itu, dengan hujah bahawa peruntukannya merosakkan konsep Islam mengenai wakaf yang membenarkan orang ramai membuat endowmen untuk tujuan kerohanian dan kebajikan.

Mereka menegaskan bahawa langkah baharu ini bertentangan dengan kebebasan beragama yang dijamin dalam perlembagaan India.

Puluhan ribu umat Islam berhimpun di Jaipur, ibu negeri Rajasthan, pada petang Ahad untuk sebuah persidangan, di mana pemimpin Muslim terkemuka mengkritik undang-undang yang dicadangkan dan memberi amaran tentang protes besar-besaran jika ia tidak ditarik balik.

Persidangan "Tahaffuz-e-Auqaf" (Perlindungan Harta Wakaf) di Jaipur, kira-kira 270 kilometer dari New Delhi, adalah antara acara awam berprofil tinggi yang diadakan untuk membentuk pendapat umum menentang rang undang-undang itu.

Antara penceramah ialah Naib Presiden AIMPLB dan Presiden Jamaat-e-Islami Hind Syed Sadatullah Husaini, Setiausaha Agung AIMPLB Maulana Mohammed Fazlurrahim Mujaddidi, Ketua Majlis Ittehad-e-Millat Maulana Tauqeer Raza Khan, Setiausaha Badan Pengurusan Makam Ajmer Syed Sarwar Chishty, Maulana Tahzeebul Hasan Rizvi, imam Syiah terkemuka dari negeri Jharkhand, dan Ahli Parlimen Imran Masood serta Maulana Mohibullah Nadvi.

"Rang undang-undang ini bertujuan untuk menghapuskan wakaf," kata Mujaddidi dalam ucapannya.

Beliau mendakwa niat sedemikian sudah jelas beberapa bulan lepas apabila seorang anggota BJP membentangkan rang undang-undang persendirian di parlimen untuk memansuhkan Akta Wakaf 1995.

"Anda hanya menukar formatnya, tetapi niat anda jelas," katanya

Presiden Yayasan Zakat India, Syed Zafar Mahmood berkata undang-undang yang dicadangkan itu disertai dengan "propaganda" terhadap institusi wakaf, dengan angka hartanah wakaf yang dilebih-lebihkan dan palsu disebarkan di media.

Angka hartanah wakaf yang boleh dipercayai di seluruh India, berdasarkan butiran yang disediakan oleh lembaga wakaf negeri, adalah 490,021, kata Syed Zafar.

Beliau menambah bahawa sementara penganut Hindu, Sikh, dan Kristian di India menikmati kebebasan menguruskan tempat ibadat dan harta mereka sendiri, Rang Undang-Undang Pindaan Wakaf ini berhasrat meletakkan anggota bukan Muslim dalam badan pengurusan endowmen Islam.

Syed Zafar sering mengecam rang undang-undang itu sebagai mengandungi "prosedur tidak teratur, pelanggaran perlembagaan, langkah mundur, tidak rasional, ketidakwajaran dan andaian yang bersifat prejudis."

Menghadapi kritikan hebat daripada parti pembangkang, kerajaan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Parlimen terdiri daripada 21 anggota Lok Sabha (Dewan Rakyat) dan 10 penggubal undang-undang Rajya Sabha (Dewan Negara) untuk menyemak rang undang-undang itu.

Pertikaian dan perbezaan ketara antara anggota pembangkang dan kerajaan telah mencemari perjalanan jawatankuasa itu.

Sadatullah menyeru supaya kempen yang "berinformasi" dibina menentang langkah kontroversi ini.

Tauqeer Raza menggesa mereka yang hadir bersedia melancarkan protes jalanan di Delhi jika rang undang-undang itu tidak ditarik balik.

-- BERNAMA