Beliau berkata ia bagi membolehkan pembangunan ekonomi komuniti itu seiring dengan proses pembangunan negara seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perdana Menteri telah menyarankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mengusahakan lebih banyak lagi inisiatif untuk komuniti India. Pada masa sama, beliau (Anwar) juga telah menyatakan kepada saya untuk menggerakkan dan mengilhamkan lagi program yang dapat memberi manfaat (kepada komuniti India) melalui agensi kerajaan yang lain.
"Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup komited dalam pegangannya untuk membela harapan dan nasib semua bangsa di negara ini termasuk masyarakat India. Perdana Menteri melihat, mendengar dan membaca setiap perkembangan berkaitan dengan hal ehwal komuniti India di negara ini," katanya dalam kenyataan sempena Tahun Baharu 2025 di sini semalam.
Ahli Parlimen Sungai Buloh yang diberikan tugas dan tanggungjawab menjaga kepentingan masyarakat India itu berkata, komitmen Kerajaan MADANI dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti India di negara ini terserlah melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2024.
"Malah setiap kali KUSKOP melancarkan inisiatif baru, beliau (Perdana Menteri) akan menghubungi saya untuk memastikan segala inisiatif mendahulukan sistem penyampaian, pemantauan dan perlaksanaan yang terbaik. Beliau cukup prihatin dengan 'keberhasilan' setiap inisiatif yang dilaksanakan," katanya.
Ramanan berkata setakat ini tujuh inisiatif diumumkan KUSKOP telah memberikan impak yang cukup baik dan untuk tahun depan, proses penambahbaikan dan tambah nilai akan dilaksanakan sebelum diumumkan, yang pastinya memberi khabar gembira.
"Harapan saya hanyalah, pastikan segala program, inisiatif yang diumumkan dapat dikongsikan termasuk cerita-cerita kejayaan. Jangan kita terpedaya dan terpengaruh dengan cerita-cerita "syok sendiri" yang direka oleh kumpulan tertentu untuk kepentingan politik," katanya.
Pada 2024, menerusi inisiatif Vanakam MADANI, Ramanan berkata kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada 90 rumah ibadat masyarakat India di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM3.17 juta.
Selain itu bagi pengukuhan ekonomi masyarakat India selaras kerangka Ekonomi MADANI, RM60 juta diperuntukkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big, yang memberi manfaat kepada 2,370 usahawan dengan bantuan berjumlah RM57.977 juta, setakat 23 Dis lepas.
Selain itu 3,285 usahawan wanita dibantu menerusi program Prosperity, Empowerment, and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan peruntukkan RM30.34 juta, selain 451 usahawan India menerima manfaat menerusi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dengan peruntukan RM50 juta, dengan RM40.39 juta telah disalurkan.
Bagi memperkasa syarikat kecil milikan komuniti India, KUSKOP melalui SME Corp melancarkan Program Business Accelerator (I-BAP) dengan peruntukan RM6 juta.
Ramanan berkata dalam membangunkan bakat dan kemahiran, program Empowering Indian Entrepreneur (EIP 2024) turut dilancarkan bagi memberi fokus kepada latihan keusahawanan, kecerdasan buatan (AI), kewangan dan media sosial.
Beliau berkata di peringkat koperasi, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menganjurkan Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) pada 13 Okt, yang disertai 200 koperasi dengan geran sehingga RM30,000 bakal disalurkan kepada setiap koperasi yang layak tahun depan.
Ramanan dalam pada itu menyeru komuniti India untuk terus bersatu padu bagi menjamin masa depan yang lebih gemilang.
-- BERNAMA