KUALA LUMPUR: Pelajar tahfiz perlu menguasai al-Quran dan Islam dalam erti kata yang sebenar untuk menangani kelompok ekstremis dan pembenci Islam.


Ringkasan AI
  • Pelajar tahfiz perlu memahami al-Quran dan Islam yang sebenar untuk menangani ekstremisme dan Islamofobia. Terdapat dua kelompok yang salah faham tentang Islam: satu yang membenci Islam dan satu lagi yang menganggap diri mereka Muslim terbaik. Perdana Menteri menekankan pentingnya kewarasan akal dan kembali kepada ajaran Islam sebenar untuk memperbaiki masyarakat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat dua kelompok di negara ini yang membawa idea yang bercanggah dengan pegangan Islam dan ia hanya boleh dibendung dengan ilmu serta penghayatan tentang Islam yang sebenar.

“Bila saya sebut JAKIM harus menasihat kerajaan dalam semua bidang, apa salahnya? (Tetapi) ada yang melenting, (kononnya) ada usaha menghasut, menyeludup program Islam.

“Apa salahnya? Kita bukan buat kezaliman, kita suruh tegakkan keadilan. Kita faham hak bukan Islam, kita hormati mereka bukan setakat Tasamuh tetapi kita faham 'Laa Ikraha Fiddiin'.

“Tetapi (mereka) bawa pandangan barat... Islamofobia sehingga benci tak boleh sebut langsung tentang Islam,” kata Anwar.

Satu lagi kelompok, kata Anwar, adalah mereka yang menganggap diri mereka sebagai Muslim terbaik dan memandang rendah terhadap orang lain.

“Kalau kerajaan, semuanya jahat. Yang baik hanya kabilah dan kelompok mereka. Ini yang akan merosakkan sendi kekuatan masyarakat.

“Ini yang kita semua depani…satu pihak benci, tak boleh langsung sebut Islam. Yang satu lagi, mereka saja Islam, orang lain jahat dan zalim,” katanya lagi.

Tambah Anwar lagi, semua pihak harus menggunakan kewarasan akal dan kembali ke asas agama Islam sebenar seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW untuk memperbaiki diri, seterusnya memajukan umat Islam itu sendiri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Himpunan 24K Huffaz di ibu negara, pada Sabtu.

Turut serta dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.