DUNGUN: Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, mangsa yang cedera akibat rempuhan berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada Rabu lepas akan dibenarkan keluar hospital hari ini.


Ringkasan AI
  • Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, mangsa rempuhan berhampiran UiTM Dungun, akan dibenarkan keluar hospital dan dihantar pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur.
  • Proses penjagaan dan kaunseling akan diteruskan oleh UiTM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu pemulihan mentalnya.
  • Dalam kejadian tersebut, tiga rakannya meninggal dunia akibat dirempuh oleh sebuah SUV yang dipandu oleh seorang wanita yang dipercayai menghidap penyakit mental.


Berkongsi perkara itu, Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu Maliaman Kassim berkata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berusia 20 tahun itu akan dihantar pulang ke rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur oleh ambulans UiTM bersama keluarganya.

"Kita tengok dia tak trauma sangat. Cuma proses penjagaan dan kaunseling akan diteruskan untuk mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan dirinya down.

"Sebab kejadian itu memberikan kesan besar kerana tiga rakannya meninggal dunia. Insya-Allah pihak hospital akan terus beri perhatian dari sudut rawatan mental dan begitulah selebihnya," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar itu di Hospital Dungun di sini hari ini.

Maliaman berkata perkhidmatan kaunseling akan disediakan UiTM manakala pihak hospital dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu dari sudut lain yang diperlukan.

"Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan apabila musibah ini berlaku kita nampak kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada Muhammad Ammar Danish," katanya.

Dalam kejadian pada 7.35 malam Rabu lepas, Muhammad Ammar Danish dan tiga lagi rakannya yang menaiki dua motosikal dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita berusia 49 tahun yang dipercayai menghidap penyakit mental.

Impak rempuhan itu menyebabkan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, meninggal dunia di lokasi akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.

Terdahulu, reman pemandu wanita berkenaan yang berakhir hari ini disambung dua hari lagi hingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA