1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menyelar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kerana membuat dakwaan tanpa asas mengenai penipuan, penyelewengan, kecurian dan pengubahan wang haram yang kononnya dilakukan oleh firma tersebut.

1MDB menyifatkan Tony gagal membuktikan kenyataan akhbarnya dimana beliau menuduh 1MDB mengelirukan Bank Negara Malaysia (BNM) yang meminta firma itu memindahkan dana AS$1 bilion yang berada di luar negara.

"Adalah penting untuk mengetengahkan kenyataan Bank Negara yang menyatakan secara jelas, bank itu membuat kesimpulan bahawa kebenaran yang diperlukan di bawah ECA untuk pelaburan 1MDB di luar negara yang diperoleh adalah tidak tepat atau tanpa pendedahan bahan maklumat yang lengkap selaras dengan penilaian bank berhubung permohonan 1MDB.

"Keputusannya dilihat berbeza daripada tuduhan menipu tanpa bukti, penyelewengan, kecurian dan penggubahan wang haram terhadap 1MDB oleh beberapa orang, Clare Rewcastle-Brown, Tony Pua, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan lain," kata 1MDB dalam satu kenyataan yang merujuk kepada pengarang Sarawak Report dan pemimpin veteran UMNO yang terus mengkritik firma itu.

Tuduhan Tony itu bersandarkan surat kuasa yang dikeluarkan BNM yang turut disiarkan dalam Sarawak Report.

Surat kepada 1MDB bertarikh 29 September 2015 itu meminta 1MDB memindahkan pelaburan AS$1 bilion yang dibuat menerusi kerjasama dengan PetroSaudi Development Limited.

Memetik kenyataan sama, 1MDB juga meminta Tony supaya menjelaskan bagaimana dokumen siasatan sulit yang dilakukan oleh BNM disiarkan dalam Sarawak Report.

Malah, 1MDB turut mempertikaikan bagaimana dokumen sulit Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seperti laporan interim Ketua Audit Negara berada di tangan syarikat akhbar antarabangsa, The Wall Street Journal.

"Kami percaya YB Tony Pua akan mengambil tindakan sewajarnya, sekurang-kurangnya memelihara keraguan integriti PAC sekali gus tidak mengelirukan rakyat berkenaan perkara yang berada di luar kepakarannya,'' katanya.