PUTRAJAYA : Prosiding pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Razak ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut bermula di Mahkamah Rayuan, di sini jam 9.21 pagi.

Bekas Perdana Menteri yang bertolak dari Penjara Kajang kira-kira pukul 8 pagi dilihat tiba di perkarangan Istana Kehakiman setengah jam kemudian.

Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu dimulakan di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pendengaran itu ditangguhkan ke 6 Januari (hari ini) selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa beliau telah memfailkan permohonan pada 3 Disember lepas untuk mengemukakan keterangan tambahan.

Mahkamah juga pada Isnin akan mendengar permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa, Titah Adendum itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Beliau juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut hadir pada prosiding itu sebagai peguam pemerhati.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Kronologi pengampunan Najib:

23 Ogos 2022: Rayuan Najib berkaitan kes SRC ditolak Mahkamah Persekutuan.

1 September 2022: Najib memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16 melalui Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

18 Oktober 2022: Najib memfailkan adendum kepada permohonan pengampunan, memasukkan fakta dalam buku Tommy Thomas mengenai polemik pelantikan hakim dibuat tanpa mengikut undang-undang.

20 April 2023: Najib memfailkan dokumen tambahan kedua kepada Ketua Pengarah BHEUU.

4 Disember 2023: Najib menghantar surat peringatan mengenai permohonan pengampunan kepada Ketua Pengarah BHEUU.

8 Disember 2023: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bersidang untuk kali pertama dengan tiada keputusan dimuktamadkan.

29 Januari 2024: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bersidang sekali lagi dengan keputusan diumumkan pada 2 Februari 2024.

29 Januari 2024: Yang di-Pertuan Agong Ke-16 membuat pengumuman mengenai perintah pertama dalam pengampunan kepada Najib.

12 Februari 2024: Najib dimaklumkan mengenai Titah Adendum melalui saluran boleh dipercayai.

1 April 2024: Semakan kehakiman mengenai Titah Adendum difailkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

3 Julai 2024: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman difailkan Najib.

6 Januari 2025: Prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.