Para penggubal dasar di Dewan Rakyat boleh mempertimbangkan cadangan untuk mengubah majoriti mudah ke angka yang lebih tinggi, kata Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Beliau berpandangan, perkara itu harus dikaji bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai bilangan sokongan yang stabil dalam sesebuah mesyuarat Parlimen.

Peristiwa bilangan undi tipis 111 yang memihak kepada kerajaan pada Isnin jelas menunjukkan majoriti yang sedia ada perlu dipertingkatkan, sekurang-kurangnya kepada angka 120.

"Kalau kita lihat, sistem dan politik Malaysia berasaskan majoriti mudah. Kalau hari ini praktik tersebut masih lagi kita teruskan tanpa reformasi kepada praktik tersebut, apabila berlaku keadaan sedemikian pada masa akan datang, kerajaan akan bertukar bila bila masa kecuali prinsip yang kuat dalam kalangan ahli parlimen.

"Kalau setakat lima itu majoriti mudah, tiga itu majoriti mudah, tapi kena gubal Perlembagaan Persekutuan yang tetapkan peraturan, bahawa dalam membentuk kerajaan itu mesti ada majoriti yang besar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

BACA: Usul tukar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Kerajaan hadapi tentangan

BACA: Azhar Azizan Harun YDP Dewan Rakyat baharu, angkat sumpah dalam suasana 'gempita'

Proses penentuan pengosongan jawatan Speaker semalam, menyaksikan 111 menyokong sementara 109 lagi tidak menyokong.

Ia sekali gus menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai masalah dalam mendapatkan sokongan berhubung proses meluluskan usul atau rang undang-undang di masa akan datang.

Mohammad Tawfik menambah, cabaran kini terletak di Blok Kerajaan untuk meyakinkan Blok Bebas enam Ahli Parlimen dipimpin Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan sembilan Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Tapi buat masa sekarang yang paling sesuai iaitu meyakinkan Ahli-ahli Parlimen selain Perikatan Nasional melalui dasar dasar, polisi, ataupun pelaksanaan bagi menangani wabak COVID19 sebagai contoh.

“Itu merupakan satu buah modal Perikatan Nasional bagi menarik dan meletakkan keyakinan kepada mereka, agar satu meletakkan perubahan sokongan yang baru daripada pembangkang kepada Perikatan Nasional".