Tiga sahabat maut apabila motosikal mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Besar Felda Palong 9, 10 dan 11 dekat sini malam tadi.

Mereka dikenali sebagai Muhammad Syahreedzwan Mohmad Abdullah, 17, Mohamad Aflin Norirfan Md Jani, 15, dan Muhammad Faizal Jamalludin, 13, yang meninggal di Klinik Kesihatan Palong 9.

Mayat mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mereka yang masing-masing menaiki motosikal bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai menunggang secara berkumpulan dari arah Palong 16 menuju Palong 9.
Jurucakap itu berkata seorang lagi rakan mereka Mohd Mois Nasir, 16, mengalami cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Jempol.