Ringkasan AI
- Pengumuman Penyertaan ADUN: Pas mengumumkan penyertaan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis ke dalam parti selepas lebih setahun permohonan diterima.
- Kritikan Ahli Parlimen: Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, mengkritik tindakan ini sebagai penghinaan kepada Parlimen yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Antilompat Parti.
- Kontroversi dan Hipokrit: Zhemin juga menyoroti kontroversi di mana Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) masih memakai reben putih sebagai tanda protes, sementara Pas mengumumkan lompatan ADUN secara terbuka. Ini dipandang sebagai sikap hipokrit oleh Zhemin.
Menurut Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, tindakan tersebut seolah-olah satu penghinaan paling besar kepada Parlimen yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Antilompat Parti.
"Kalau sudah lompat, kenapa tak umum tahun lepas? Hari ini baru umum. Tunggu satu tahun, lepas itu datang ke Parlimen buat satu pengumuman nak bodohkan rakyat Malaysia.
"Jadi saya nak tanya adakah mereka dapat apa-apa kebenaran untuk buat sidang media macam ini yang telah menghina Parlimen Malaysia?," soalnya ketika bangkit mencelah semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Zhemin berkata Pas juga didakwa bersifat hipokrit memandangkan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) masih memakai reben putih di lengan sebagai tanda protes.
"Jangan pakai reben sambil kata nak umum ada ADUN yang lompat masuk parti Pas. Tindakan ini seperti cakap tak serupa bikin.... Hipokrit yang paling besar dan saya rasa kita tak boleh terima.
"Mereka (pembangkang) apabila ada Ahli Parlimen mereka yang bagi sokongan (tidak dikategorikan sebagai) lompat parti tetapi mereka bantah dan pakai reben putih.
"Tetapi sekarang dengan terbuka mereka umum bahawa ada Yang Berhormat telah lompat parti dengan terbuka dan mereka kata tahun lepas lompat dan bukan hari ini," tambahnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Parlimen mengumumkan Muhamad Jailani menyertai parti Islam itu.
Menurut Takiyuddin, keahlian Muhamad Jailani yang juga wakil rakyat UMNO diterima pada 10 Jun tahun lalu, namun diumumkan secara rasmi hari ini.
Takiyuddin yang juga mendakwa keputusan Muhamad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.