SLIM RIVER: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.

"Selain itu peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac," katanya dalam ucapan pada Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan kementerian telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim tahun lepas dengan kos RM35 juta.

Menurutnya projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada Oktober ini.

"Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3 kilometer dengan spesifikasi JKR R1 yang akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak daripada 30 minit kepada 10 minit," katanya.

Sebagai memperkasakan anak-anak peneroka, Ahmad Zahid berkata beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 50 anak Felda menyambung pengajian di UniKL khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pada sesi pengambilan akan datang.

"Insya-Allah MARA (Majlis Amanah Rakyat) akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran, " katanya

Pada majlis sama beliau menyerahkan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 anak yatim dan golongan asnaf dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.

Ahmad Zahid turut menyerahkan hasil pendapatan projek Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperoleh dalam tempoh setahun berjumlah RM400,000.

Beliau berkata model PPP bersama AgroBank (Plasma/ Koperasi) ini melibatkan penyertaan AgroBank sebagai rakan pelaksana dan pembiaya projek, manakala operator projek ialah AQINA Fruits Sdn Bhd melalui projek tanaman Nanas MD2.

Menurutnya projek yang bermula pada 2022 ini dikendalikan oleh Koperasi Besout 1, 2 dan 3.

Dalam pada itu Maktab Rendah Sains MARA Felda (MRSMF) yang merupakan MRSM kelima di Perak turut menerima peruntukan berjumlah RM280,000 melalui Tabung Khas Penyelenggaraan IPMA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut Ahmad Zahid melalui kerjasama antara MARA dan Felda itu, Program Ulul Albab akan diwujudkan di MRSM Felda bagi melahirkan "Imtiaz Firdaus" atau generasi Felda yang cemerlang menjelang 2050.

-- BERNAMA