SERDANG: Syarikat baja terkenal, Kumpulan Taaveekun akan terus memperluaskan kolaborasi bersama KPF Agro Properties Sdn. Bhd dalam penghasilan dan pembekalan perapi tanah untuk merawat tanaman sawit di ladang-ladang FELDA di seluruh negara mulai awal tahun depan.

Presiden Kumpulannya, Md Fadzilah Ariffin berkata, kerjasama itu bakal melonjakkan lagi dan menggandakan hasil tanaman sekali gus mensasarkan pulangan yang lumayan untuk warga ahli Koperasi Permodalan Felda yang terdiri daripada kalangan peneroka melalui dividen yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Beliau yang juga Pengasas Taaveekun memberitahu, kerjasama menerusi anak syarikatnya, Taaveekun Total Green Sdn. Bhd. (TTGSB) akan turut melibatkan jalinan formulasi bersama FGV Fertilizer Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV).

“Sebelum ini, pihak TTGSB telah membekalkan lebih 70 ribu metrik tan perapi tanah (Taaveekun soil admenment) kepada KPF Agro Properties untuk diedarkan kepada ladang-ladang sawit terpilih di bawah kumpulan Felda seluruh negara mulai tahun 2022 dengan nilai kontrak RM100 juta.

“Susulan kejayaan peningkatan hasil tuaian sawit, kadar perahan minyak (OER) telah meningkat bagi pokok yang berjaya dipulihkan menggunakan kaedah Taaveekun.

“Justeru, kedua-dua pihak berhasrat meneruskan kerjasama untuk terus merawat dan memulihkan baki tanaman yang belum dirawat di ladang-ladang sawit di bawah Felda, FGV, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan ladang-ladang swasta yang telah dikenalpasti mulai tahun depan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2024 (MAHA 2024) di MAEPS. 

Ketika ini, kapasiti penghasilan produk Taaveekun di kilang yang terletak di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang dikendalikan oleh Taaveekun Manufacturing Sdn. Bhd berupaya menghasilkan lebih 200,000 metrik tan setahun pengeluaran baja dan sentiasa bersedia menerima tempahan.

Sementara itu, Pengerusi KPF Agro Properties Sdn. Bhd., Datuk Ramli Ismail memberitahu, pihaknya mula tertarik dengan kaedah Taaveekun bermula tahun 2020 yang memiliki kelainan tersendiri selain hasil positif ke atas hasil tananam selepas membuat percubaan.
                                                                                                         
Justeru beliau percaya kerjasama dengan Taaveekun telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana masing-masing memiliki kepakaran tersendiri.

Beliau juga mengakui KPF Agro Properties perlu bergerak ke depan luar dari kotak dengan perancangan memiliki baja logo sendiri yang dibekalkan Taaveekun dengan sasaran jualan kepada peneroka sawit yang keluar dari Felda.

“Strategi menyasarkan peneroka yang keluar dari Felda ini lebih baik kerana mereka tidak lagi mempunyai penasihat.

“Kita perlu ada inisiatif dengan bincang dan panggil mereka untuk menggunakan produk baja yang betul dan berkualiti dan tengok hasil tanaman dan hantar semula kepada Felda.

“Apatah lagi baja perapi tanah ini begitu sesuai di kawasan Felda kerana kebanyakan tanah telah mati dan perlu dipulihkan kerana sudah lama menggunakan baja berasas kimia,” katanya.
                                                                                                              
Sementara itu, sempena MAHA 2024 ini, Taaveekun dan KPF Agro Properties telah berkongsi reruai dalam usaha mengeratkan jalinan kerjasama dengan menawarkan pelbagai produk baja Taaveekun yang dijual dengan harga promosi istimewa dan lebih rendah dari pasaran kepada pengunjung.

Bulan lalu, Taaveekun melakar sejarah apabila muncul syarikat baja pertama di negara ini hasil kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah pertanian lestari.

 Kerjasama itu yang dimeterai menerusi syarikat pemula inovasi UKM iaitu Pertanian Bersih Sdn. Bhd. (PBSB) memfokuskan kepada penyelidikan berasaskan Harta Intelek UKM iaitu Teknologi Pertanian Bersih (CAT) yang merupakan pengiktirafan pensijilan kualiti sistem pertanian yang selamat dan bersepadu menggabungkan bahan dan kaedah pertanian berasaskan pengetahuan saintifik.

Sejak beroperasi 20 tahun lalu, antara produk popular Taaveekun adalah perapi tanah atau Soil Amendment dan juga Smart Fertilizer.

Taaveekun yang beribupejabat  operasi di Kota Sarang Semut, Kedah, dan kilang pengeluaran di Bukit kayu hitam, turut membuka premis operasi di Hatyai,  Thailand.

Selain itu, Taaveekun juga telah bertapak di negara Brunei sejak enam tahun lalu dan sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Kemboja dan juga Indonesia.