KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus berdiri megah di persada dunia apabila melonjak kepada kedudukan ke-138 berbanding 159 sebelum ini dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2025 yang diumumkan semalam.


Ringkasan AI
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak ke kedudukan ke-138 dalam QS World University Rankings 2025, menunjukkan peningkatan dalam kualiti penyelidikan, pengajaran, dan kebolehpasaran graduan.
  • Kejayaan ini menjadikan UKM kedua terbaik di Malaysia antara universiti awam dan swasta, serta menunjukkan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan pengantarabangsaan.
  • UKM meneroka peluang global dengan membuka kampus di Qatar dan Indonesia, serta meneruskan fokus pada penyelidikan translasi dan transformasi sosial, sambil terus meningkat ke arah kecemerlangan dalam semua aspek penyelidikan, pengantarabangsaan, dan kelestarian.


Kejayaan itu sekali gus meletakkan UKM kini di kedudukan kedua terbaik antara universiti awam dan universiti swasta di Malaysia.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata kejayaan itu menunjukkan komitmen kukuh universiti berkenaan dalam meningkatkan kualiti penyelidikan, pengajaran, kelestarian, pengantarabangsaan dan kebolehpasaran graduan.

"Kejayaan ini diperoleh melalui peningkatan perolehan geran antarabangsa, industri serta fokus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan alumni yang menyumbang kepada kecemerlangan pembangunan universiti ini, seterusnya meningkatkan kedudukan UKM di persada antarabangsa.

"Ini juga mencerminkan usaha berterusan UKM dalam meningkatkan reputasi dan kecemerlangan dalam arena pendidikan tinggi global," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Ekhwan berkata peningkatan tersebut merupakan suatu pencapaian membanggakan malah memberi dorongan kepada universiti watan itu untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi dalam pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Beliau berkata pencapaian luar biasa itu juga adalah bukti perancangan rapi UKM dalam mencapai visi jangka panjangnya selain mengangkat universiti tersebut sebagai institusi yang lebih menonjol, terkenal di peringkat global dan mudah diakses pelajar antarabangsa.

"Malah memupuk kerjasama yang lebih kukuh dengan rakan kongsi industri dan memacu inisiatif penyelidikan dan inovasi ke hadapan.

"Melalui usaha bersepadu dalam pengantarabangsaan dan inisiatif global, UKM telah mencapai kemajuan yang besar dalam meluaskan pandangan antarabangsa dengan pembukaan kampus pesisir di Qatar dan Indonesia," katanya.

Mohd Ekhwan berkata kejayaan itu juga adalah perjalanan kecemerlangan UKM ke arah pengantarabangsaan dalam memfokuskan jalinan kerjasama dengan institusi di seluruh dunia.

"Walaupun kami komited untuk terus meningkat dalam pengiktirafan antarabangsa tetapi fokus UKM tetap kepada aspek penyelidikan translasi, transformasi sosial dan peningkatan kualiti masyarakat," katanya.

Menurutnya penarafan bukan agenda utama universiti namun kedudukan itu membuka ruang dan peluang yang lebih luas buat UKM terus mengorak langkah ke hadapan dalam meneroka dan memperbaharui semua aspek penyelidikan, pengantarabangsaan dan kelestarian.

-- BERNAMA